Kebersihan dan maklumat tepat adalah hak setiap pelanggan dalam mendapatkan sesuatu produk apatah lagi makanan dan minuman yang dibeli.
“Kecil tapi impaknya besar”, itulah gambaran tepat bagi usaha peniaga di Labuan yang kini tampil lebih ‘smart’ dengan label maklumat pada setiap bungkusan juadah.
Menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan WP Labuan, pihak mereka berkongsi satu anjakan positif yang telah menetapkan penanda aras (benchmark) baharu dalam landskap perniagaan jalanan.
Terangnya penggunaan label maklumat pada bungkusan juadah bukan sekadar pelengkap visual, malah ia merupakan manifestasi amanah peniaga dalam menjamin ketelusan ramuan, tempoh kesegaran, serta akauntabiliti terhadap keselamatan pengguna.
Beberapa gambar yang dikongsikan, setiap juadah yang dijual mempunyai label yang lengkap termasuk nama pembekal, alamat pembekal, nombor telefon, tarikh dibekalkan, bahan pembuatan dan waktu selamat untuk dimakan.

Mungkin bagi sesetengah orang memandang remeh akan isu label pada juadah yang murah, namun bagi pihak BKKM WP Labuan berpendapat label ini merupakan bukti kejujuran dan kepercayaan yang perlu ditonjolkan oleh para peniaga kepada pelanggan mereka.
“Benda kecil di tangan penjual, tapi impaknya besar untuk keselamatan orang ramai.
“Terima kasih kepada peniaga kecil yang peka dengan label makanan! Anda hebat!,” tulisnya di Facebook.
Selain itu, bagi yang masih belum menyediakan label, disarankan untuk bertindak segera agar boleh bertukar ke arah yang lebih baik.
Bukan sekadar memenuhi kriteria BKKM, tetapi ia mencerminkan sikap bertanggungjawab peniaga terhadap keselamatan makanan.
Langkah proaktif BKKM Labuan ini dengan kerjasama peniaga di sana kini mendapat pujian melambung daripada orang ramai yang menghargai ketelusan dan kualiti penyajian makanan.
Dalam pada itu, netizen juga tersentuh melihat titipan pesanan yang ditinggalkan oleh peniaga yang minta pembeli menyemak terlebih dahulu keadaan juadah yang dibeli (lihat,hidu,rasa) sebelum dimakan kerana ramai akui itu langkah yang sering dilupakan selama ini.
Dalam pada itu, sebahagian menyamakan dengan label yang tampak profesional ini sudah setaraf produk yang dijual di pasaraya.
Sementara, ada yang mendapati inisiatif ini adalah sesuatu yang bagus kerana bagi sesiapa yang mempunyai alergik boleh semak kandungan bahan yang digunakan sekaligus boleh mengelakkan sebarang kesan yang tidak diingini.