Pulau Daat yang dilelong di Labuan sejak sekian lama akhirnya kini dibeli dengan harga lebih rendah oleh seorang individu.

Pulau Daat, sebuah pulau yang terletak kira-kira enam batu nautika dari pelabuhan dan setengah jalan ke Menumbok, telah dibeli oleh seorang pembeli asing dengan harga sekitar RM80 juta.

Baca Juga:

Menurut sumber, pembelian tersebut dibuat melalui lelongan selepas beberapa siri lelongan sebelum ini tidak berjaya, lapor media Sabah, Daily Express.

Sumber yang dipercayai itu turut menyatakan bahawa urusan jual beli Pulau Daat dengan pembeli warganegara asing itu juga telah diselesaikan baru-baru ini. Sehingga kini, belum ada laporan yang menyatakan identiti pembeli tersebut.

Sumber Gambar: Daily Express Malaysia

Hartanah tersebut mula dijual melalui lelongan pada tahun 2021 dengan harga rizab ditetapkan pada RM135 juta, menunjukkan penurunan harga yang signifikan apabila ia berjaya dibeli oleh pembeli tersebut. Pada tahun 2022, pulau tersebut dilelong sekali lagi dengan harga RM 121.5 juta atau RM4.80 satu kaki persegi oleh pemiliknya pada waktu itu, Potensi Bernas Sdn Bhd yang menamatkan perniagaan mereka.

Pulau Daat mendapat liputan meluas pada tahun 2012 apabila Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi agensinya, Perbadanan Labuan mahu menjadikan pulau itu sebagai hab minyak dan gas untuk meningkatkan ekonomi Labuan.

Projek pembangunan yang merangkumi pelan pembangunan bersepadu meliputi kompleks penyimpanan gas, fabrikasi, pemprosesan minyak, perumahan, komersial dan hotel yang dirancang di Pulau Daat.

Difahamkan ia merupakan kerjasama di antara syarikat RG Gas yang berpengkalan di Sabah dan syarikat China, Zhuhai Winbase International Chemical Tank Terminal Co Ltd.