Niat murni seorang penjaja minuman untuk meleraikan pergaduhan bertukar tragedi apabila dia dilaporkan cedera di kepala akibat dibelasah oleh sekumpulan jurugambar haram di kawasan Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada Isnin (23 Mac).

Insiden yang mencemarkan imej pelancongan negara ini didedahkan oleh pempengaruh dan guru terkenal, Mohd Fadli Salleh, menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

Bermula Daripada Serangan Ke Atas Pelancong

Menurut Mohd Fadli, insiden bermula apabila kumpulan jurugambar yang terdiri daripada puluhan individu tersebut mencetuskan kekecohan dan menyerang pelancong asing di kawasan berkenaan.

Mangsa yang berada berhampiran cuba campur tangan bagi menghentikan pertengkaran.

“Kepala kawan saya pecah selepas dipukul dengan senjata berhampiran KLCC semalam. Saya tidak pasti objek apa yang digunakan. Waktu itu mereka sedang bergaduh dan memukul pelancong asing,” jelas Mohd Fadli.

“Kawan saya yang merupakan penjaja minuman kebetulan berada di situ dan cuba meleraikan pergaduhan. Kumpulan tersebut kemudian beralih arah dan memukulnya beramai-ramai.”

Serangan tersebut dipercayai dilakukan dari arah belakang. Lebih memburukkan keadaan, kumpulan terbabit turut bertindak memusnahkan bekas minuman jualan mangsa dengan sengaja.

Kecederaan Memerlukan Jahitan

Penjaja Didakwa Cedera Ketika Cuba Halang 'Ulat Gambar' Di KLCC Serang Pelancong
Sumber Gambar: FB

Kejadian ganas itu mengakibatkan dua individu, termasuk rakan Mohd Fadli, mengalami luka di bahagian kepala. Mangsa utama terpaksa menerima tujuh jahitan, manakala seorang lagi mangsa menerima dua jahitan akibat kecederaan tersebut.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sindiket Dilihat ‘Kebal’ Undang-Undang?

Mohd Fadli turut meluahkan rasa kesal kerana walaupun pelbagai aduan telah dibuat sebelum ini berhubung kegiatan ‘ulat gambar’ di sekitar KLCC, kumpulan itu masih bebas menjalankan aktiviti mereka.

“Geng ini seolah-olah ‘kebal’; mereka terus beroperasi sambil mengugut dan mencederakan orang secara fizikal. Merekalah punca pelancong pandang rendah pada Malaysia,” tegas beliau.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas sindiket ini bagi memulihkan imej negara di mata dunia.

Sumber