Seramai 55,169 penjawat awam dikategorikan sebagai berisiko tinggi menghadapi isu kesihatan mental, termasuk menunjukkan kecenderungan membunuh diri, hasil saringan menerusi Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD).
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail berkata, dapatan itu menegaskan kepentingan mendesak untuk memperkukuh kesejahteraan psikologi penjawat awam secara menyeluruh demi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas, petik Berita Harian.
“Dapatan Kajian Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia pada 2025 turut menunjukkan kesejahteraan psikologi antara faktor penting yang mempengaruhi kesejahteraan organisasi, sekali gus memberi kesan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Oleh itu, usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi secara holistik perlu dilihat sebagai pelaburan strategik bagi memastikan rakyat negara ini khususnya perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara, kekal cekap, responsif dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam 2026 (PSYCON 2026) bertemakan ‘Psikologi Memperkasa Insan, Mencorak Masa Hadapan’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, hari ini.