Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK Raya) sebanyak RM1,500 kepada semua 13,582 penjawat awam negeri itu sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengumuman yang nyata disambut baik kakitangan awam di negeri tersebut  ini dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam satu majlis berbuka puasa bersama penjawat awam negeri di Laman Seri Ridzuan, Ipoh semalam.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan BH Online, bantuan khas ini akan disalurkan kepada semua penjawat awam, termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ), dan pekerja sambilan harian.

Pemberian BKK Raya kali ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, di mana penjawat awam menerima RM1,000.

Saarani menjelaskan bahawa kenaikan kadar BKK Raya ini adalah hasil daripada amalan berjimat cermat kerajaan negeri serta peningkatan hasil negeri, termasuk melalui perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), kestabilan politik, dan kemasukan pelabur.

Duit Raya Penjawat Awam Perak

“Kita berterima kasih kepada pasukan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri yang pandai menjimatkan duit yang akhirnya apabila saya sembang apa yang patut kita beri (BKK Raya) adalah RM1,500,” kata Saarani menurut sumber BH Online.

Beliau turut menambah bahawa kestabilan politik di negeri Perak telah menarik minat pelabur untuk mengembangkan pelaburan mereka di negeri ini.

“Jadi semua ini adalah rahmat dan rezeki dari Allah SWT kepada kita, yang ada sumber mineral. Dan nikmat Allah itu juga datang dalam bentuk kestabilan politik.”

“Maka, kita tengok pelabur-pelabur pun sudah berminat dan mula datang ke negeri Perak untuk mengembangkan pelaburan mereka,” tambah beliau lagi.

Pembayaran BKK Raya ini dijadualkan pada 24 Mac, dengan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan negeri.

Sumber