Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta penjawat awam menambah baik sistem dan cara kerja lama supaya proses menjadi lebih cepat, sekali gus dapat menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

Menurut beliau, pengertian kemerdekaan harus dihayati setiap rakyat khususnya penjawat awam bukan sahaja dalam konteks membebaskan diri daripada penjajah, tetapi membebaskan masalah yang dihadapi rakyat.

Baca Juga:

“Insya-Allah, kalau dulu banyak sistem dan cara kerja yang lama dan proses itu lambat, kita (penjawat awam) percepatkan dan akhirnya yang mendapat faedah adalah rakyat.

“Itu yang dimaksudkan erti kemerdekaan,” katanya kepada BERNAMA ketika diminta mengulas amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Mohd Zuki berkata, penjawat awam mengalu-alukan hasrat Perdana Menteri untuk membentuk masa hadapan negara yang lebih cemerlang.

Anwar ketika menyampaikan amanat Hari Kebangsaan 2023 hari ini, antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.

Perdana Menteri berkata, antara syarat untuk mencapai aspirasi itu adalah dengan memastikan ‘Merdeka Rakyat’ iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta bebas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud.

Sumber