Penjenamaan semula bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan terutamanya untuk jenama yang telah bertapak berpuluh tahun lamanya dalam pasaran.
Namun demi memastikan perniagaan terus berkembang dan selari dengan peredaran masa, jenama lokal Dr Cardin tekad merubah haluan mereka demi berdiri sama tinggi dengan jenama-jenama hebat yang lain.
Baru-baru ini Dr Cardin menganjurkan sesi khas bersama media tempatan, pempengaruh media sosial dan pelanggan setia di mana Ketua Penjenamaan Dr Cardin, Chong Charl Yee bercerita tentang perjalanan rebranding mereka.
Anggapan Dr Cardin jenama dari luar negara
Menurut Charl Lee, ramai yang beranggapan jenama Dr Cardin adalah jenama dari luar negara.
“Memang benar ramai yang ingat Dr Cardin adalah jenama antarabangsa. Bila mereka tahu Dr Cardin adalah jenama dari Malaysia, ramai yang terkejut.
“Sebenarnya Dr Cardin diasaskan oleh datuk saya sejak lima dekad lalu. Kemudian diambil oleh bapa saya sekitar tahun 90an.
“Bila kami empat beradik sertai syarikat, kami lakukan rombakan yang lebih sesuai dengan generasi masa kini dengan memperkenalkan sistem e-dagang dan rekaan yang lebih terkini,” katanya.
Siapa Dr Cardin?
Ditanya siapakah individu di sebalik nama Dr Cardin itu, kata Charl Yee, nama itu bukanlah individu yang sebenarnya sebaliknya nama tersebut di ambil daripada perkataan Itali.
“Cardin dalam bahasa Itali bermaksud sepatu yang berkualiti. Dr pula sebagai simbolik yang membawa maksud jenama kami boleh menyelesaikan masalah anda dalam memilih sepatu yang sesuai. Nama ini tiada kena mengena langsung dengan keluarga saya,” kongsinya.
Charl Yee berkata ketika ini, jenama Dr Cardin jarang dipakai oleh muda dan sekiranya pakai, mereka mengenali jenama itu daripada datuk, bapa atau ibu mereka.
Disebabkan itu jenama itu membuat keputusan untuk menjenamakan semula Dr Cardin dan menghasilkan koleksi yang lebih moden dan trendy.
Koleksi khas bersama Bulan Bintang
Bercerita tentang perancangan untuk tahun 2026, kata Charl Yee mereka akan berkolaborasi dengan jenama terkenal, Bulan Bintang untuk koleksi lebaran.
“Fokus terbesar kami adalah koleksi raya tahun hadapan. Kami akan berkolaborasi bersama Bulan Bintang.
“Koleksi ini akan dilancarkan pada penghujung Januari 2026. Kami akan memperkenalkan wajah baharu untuk kempen raya ini.
“Apa yang menarik tentang koleksi ini adalah kami akan melancarkan koleksi kasut tumit tinggi,” kongsinya.