Buriram United bukan sahaja merupakan kelab paling berjaya dalam kancah Thai League 1 hasil 10 kejuaraan dimenangi serta pada ketika ini beraksi dalam Asian Champions League Elite (ACL Elite).
Malah, pasukan yang dikenali dengan julukan ‘Thunder Castle’ itu juga cukup terkenal berkaitan dengan aspek penjualan jersi.
Baca Juga:
- Buriram United Raih RM2.78 Juta Jual Jersi ‘Pink’
- Kenali Newin Chidchob, Tulang Belakang Kekuatan Buriram United
- Hak Nama Stadium Bertukar Tangan, Buriram United Terima RM25 Juta Semusim Untuk 5 Tahun
Saban tahun dapat disaksikan kelab yang berpangkalan di bahagian bawah wilayah Timur Laut Thailand itu mencatatkan jualan jersi bernilai jutaan ringgit pada hari pertama penjualan.
Yang terbaharu seperti dilaporkan semalam, kutipan bagi penjualan jersi baharu berwarna merah jambu sebelum perlawanan menentang PT Prachuap berjaya meraih RM2.78 juta.
Pendahulu Thai League 1 2024/25 dengan kelebihan lima mata berbanding pesaing terdekat, Port FC itu berupaya menjual sebanyak 29,444 helai jersi pada hari pertama penjualannya.
Mengapa perkara seperti ini mampu dijelmakan oleh Buriram United?
Hanyalah sebuah pasukan bola sepak bagi salah satu negara di Asia Tenggara, tetapi Buriram United mempunyai penjenamaan (branding) yang cukup kuat dalam kalangan penduduk Buriram.
Misi kelab tersebut cukup jelas dalam mengimplementasikan kecemerlangan permainan di atas padang seiring dengan usaha mengembangkan saiz pasaran berpotensi mereka.
Penulis turut pernah berkesempatan mengunjungi Buriram sekitar tahun 2017 dan jelas sekali penduduk di sana begitu memandang tinggi dan menyanjungi apa yang telah dilakukan Newin Chidchob dalam membangunkan kawasan sekitar terutamanya menerusi Buriram United.
Bola sepak menjadi tarikan utama di wilayah berpenduduk 1.6 juta orang dimana Stadium Arena Chang akan sentiasa menjadi tatapan utama pada risalah pelancongan kawasan tersebut.
Secara tidak langsung, kelab tersebut sudah menyalurkan aura positif dalam menjana semangat dan kesetiaan terhadap Buriram United dalam kalangan penduduk di sana.
Dapat disaksikan hampir setiap hari, penduduk di sana tanpa mengira pekerjaan, sebagai contoh pembawa tuk-tuk atau motosikal akan memakai jersi Buriram United dengan penuh bangga.
Difahamkan, walaupun kelab tidak berada dalam prestasi baik sekalipun, penjualan jersi di sana akan tetap sangat menggalakkan.
Menurut sumber Main Stand Thailand, hampir setiap isi rumah di Buriram mempunyai sekurang-kurangnya sehelai jersi Buriram United. Setiap kali jersi baharu akan dijual, orang ramai beratur di hadapan kedai ‘Merchandise’ sejak waktu subuh.
Harga berpatutan serlahkan lagi keterujaan
Dengan penjenamaan serta jati diri kuat para peminat terhadap Buriram United, pengurusan tertinggi kelab pula mengambil inisiatif proaktif dengan menghasilkan sendiri jersi pasukan.
Kecuali jersi ACL Elite yang kini ditaja oleh Ego Sports, Buriram tidak terikat dengan mana-mana pengeluar jersi untuk memastikan dapat menjualnya dengan harga berpatutan.
Meskipun Ego Sports sudah mula masuk ke dalam pasaran Buriram, namun jersi bagi saingan ACL Elite lebih murah berbanding jersi saingan Thai League 1.
Jersi saingan Thai League 1 dijual dengan harga 740 Baht (kira-kira RM94) manakala jersi ACL Elite pula berharga 690 Baht (RM88).
Situasi menang-menang yang dimeterai kedua-dua pihak hingga memberikan ruang kepada penyokong setia untuk mendapatkan jersi dengan harga lebih berpatutan.
Secara ringkasnya, Buriram United telah membuktikan kepada semua bahawa prestasi di atas padang bukanlah satu-satunya sumber pendapatan yang boleh dijana oleh kelab bola sepak.
Mereka telah mewujudkan satu jenama yang terus berkembang lebih kukuh dan mempunyai kelebihan berbanding kelab lain di seluruh dunia.