Pensyarah Kanan Fakulti Sukan & Eksesais Sains Universiti Malaya (UM), Dr Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berpendapat pasukan sorak (pompom girl) mampu menarik minat penyokong bola sepak untuk turun ke stadium bagi menyokong pasukan masing-masing.

Cara tersebut disifatkan oleh Nasnoor sebagai antara tarikan bagi mengatasi isu kehadiran penyokong yang amat mendukacitakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Baca Juga:

Dengan masalah tunggakan gaji yang kian membarahi pasukan Liga Super, isu kehadiran penyokong semakin membuatkan saingan liga semakin hambar.

“Sebenarnya pelbagai aktiviti boleh dilakukan sebelum, ketika dan sesudah perlawanan,” ujar beliau menurut sumber laporan Harian Metro.

“Seperti contoh di Amerika Syarikat, kalau kita tengok perlawanan dalam American Football, NBA (bola keranjang) atau besbol akan ada persembahan artis atau pasukan sorak.”

“Kaedah sama pun boleh cuba di sini. Mungkin pasukan sorak akrobatik terdiri daripada pasukan wanita sekolah membuat persembahan sebelum perlawanan dan ketika waktu rehat.”

“Cara itu mungkin baru di Malaysia tapi di luar negara ia sudah biasa. Tapi persembahan perlulah mengikut budaya dan cara rakyat kita yang boleh menerimanya.

“Saya fikir tidak salah kita mencuba dan mungkin ia boleh menarik minat penyokong yang hadir dan kekal di stadium sehingga habis perlawanan,” tambah Dr Nasnoor lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah diambil Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengadakan cabutan bertuah pada aksi separuh akhir menentang Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri tempoh hari.

“Saya melihat apa yang dilakukan JDT (Johor Darul Ta’zim) yang membuat cabutan bertuah sebagai inisiatif bijak dalam usaha menarik minat penyokong lebih ramai datang ke stadium.

“Sebenarnya pelbagai aktiviti boleh dilakukan sebelum, ketika dan sesudah perlawanan.”

Sumber