Penumpang yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat penerbangan MYAirline sejak 12 Oktober lalu boleh menuntut bayaran balik menerusi proses ‘charge back‘ (caj balik) sekiranya tarikh perjalanan sudah luput.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkara itu disahkan Bank Negara Malaysia (BNM) selepas perbincangan bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diadakan.

Baca Juga:

Difahamkan MAVCOM telah mengadakan perbincangan bersama BNM berkenaan isu pembayaran balik kepada pelanggan yang terjejas dalam hal ini.

“BNM mengesahkan bagi penumpang yang telah membeli tiket melalui kad kredit, kat debit dan ‘direct debit’ (FPX), boleh menuntut pembayaran balik melalui proses ‘charge back’ (caj balik) sekiranya tarikh perjalanan telah tamat tempoh.

“Ia boleh dituntut dengan cara menghubungi MYAirline atau bank mereka sendiri,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat pada hari semalam.

Memperincikan isu tuntutan balik, Loke berkata, mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016, penumpang yang terjejas perlu ditawarkan bayaran balik dalam tempoh 30 hari.

Mereka juga layak mendapat tuntutan bagi nilai penuh tiket yang dibayar termasuk cukai dan fi, bagi sebahagian atau mengikut bahagian perjalanan yang tergendala.

Beliau turut menegaskan, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Mavcom sedang memantau perkembangan semasa berhubung isu itu dan akan memastikan semua aduan serta perkara yang dibangkitkan penumpang terjejas diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, syarikat MYAirline sudah memberi jaminan kepada Mavcom bahawa pihaknya akan menunaikan kewajipan untuk membuat bayaran balik kepada penumpang yang terjejas.