Pada hari semalam tular satu rakaman klip video pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) dilanggar oleh seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan sekatan jalan raya.

Dalam satu kenyataan, JPJ berkata sebuah motosikal Yamaha Y125ZR dirampas dan lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (RTA) 1987 kerana menunggang dengan lesen tamat tempoh sejak 18 Julai 2012 dan tidak mempunyai insurans yang sah.

Baca Juga:

“Suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut Seksyen 42(1) RTA 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” kata kenyataan itu.

Video berdurasi lima saat kejadian tular, menunjukkan pegawai JPJ itu dirempuh ketika menjalankan tugas di sekatan jalan raya di KM28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson kira-kira jam 11 pagi semalam.

Difahamkan, pegawai berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas membuat imbasan Sinar X dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

Menurut kenyataan itu, JPJ telah melancarkan Operasi Khas Motosikal 2023 selama sebulan dari 1 hingga 30 Sept di seluruh negara, bertujuan untuk menyemai budaya mematuhi peraturan jalan raya dan memupuk rasa bersalah dalam kalangan penunggang motosikal apabila mereka melakukan kesalahan jalan raya.

“Justeru JPJ menasihati orang ramai supaya tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan operasi SJR yang dilakukan oleh JPJ.

“JPJ juga menyeru orang awam untuk melaporkan kesalahan lalu lintas secara terus atau masa nyata menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau e-mel kepada [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.

Sumber