Selaras dengan pelancaran rasmi Apple baru ini, Malaysia sudah menjadi antara negara terawal yang sedia menawarkan jualan peranti siri iPhone 17 kepada peminat tempatan.
Menariknya, segerombolan besar peminat sudah beratur di hadapan kedai rasmi Apple di TRX untuk menjadi pembeli terawal siri iPhone tersebut.
Walaupun kedai rasmi itu buka bermula pada pukul 8 pagi, segelintir individu sanggup beratur sejak awal pagi semalam lagi.
Memetik dari video yang tular serta laporan media lain, individu yang paling hadapan atau pertama sekali berbaris adalah seorang pemuda tempatan bernama Danial Arif bin Abdul Halim berusia 19 tahun, penuntut universiti awam telah beratur secara rasmi seawal 12 pagi semalam.

“Saya menaik taraf iPhone 13 Pro Max saya kepada iPhone 17 Pro Max. Warna baharu Cosmic Orange sangat menakjubkan,” katanya.
“Sebagai pelanggan pertama, saya berasa sangat gementar tetapi teruja semasa pra-tempahan. Kini, saya berasa sangat lega,” tambahnya.
“Saya telah menjadi peminat Apple sejak kecil dan saya mahu merasai keterujaan ini. Saya selalu melihat YouTuber seperti iJustine dan lain-lain yang beratur awal untuk mendapatkan iPhone terkini — inilah sebabnya saya mahu mencubanya.”
Selain itu, seorang lagi individu terawal yang menjadi perhatian adalah dari Bangladesh dan sanggup terbang ke sini hanya kerana mahu membeli iPhone 17 Pro Max terbaharu.
“Saya datang dari Bangladesh. Saya datang ke sini untuk membeli telefon baharu. Saya membeli satu unit 17 Pro Max Cosmic Orange,” katanya.
Tushar tiba di Malaysia dua hari sebelum pelancaran. Pada pagi Khamis, dia menerima gelang tangan beratur (queue handband) sebelum jam 11 pagi.
Pada hari pelancaran (19 September), dia datang ke kedai sebelum jam 4 pagi untuk mendapatkan tempatnya.
“Lebih daripada empat jam saya menunggu,” katanya mengenai pengalamannya.
@ernamh Malay Mail speaks to enthusiastic iPhone fans on iPhone Day, September 19. Malaysia is now officially a first wave country in getting iPhone releases. #happyiphoneday #applestoretrx #iphone17promax
Memang dapat dirasakan kehangatan permintaan siri iPhone kali ini kerana orang ramai sanggup berpusu-pusu dan ada yang sanggup terbang ke sini dek kerana mahu menjadi pemilik terawal dan menikmati segala kemas kini teknologi yang ditawarkan menerusinya.