Jurucakap polis Thailand menyatakan 6 rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita yang ditahan di selatan Thailand pada Jumaat lalu didapati positif dadah.

Memetik Harian Metro, enam individu termasuk tiga wanita itu akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat, esok untuk mendapatkan perintah reman selepas ditahan di lokap polis Sungai Golok.

“Mereka akan dihantar ke mahkamah di Narathiwat yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Sungai Golok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan oleh polis Thailand,” katanya.

Beliau berkata, keenam-enam mereka dijangka akan didakwa bersama kerana memiliki 6,000 pil kuda itu. Bagaimanapun siasatan masih lagi dijalankan.

“Dua wanita lain juga akan didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah,” katanya lagi.

Terdahulu, artis wanita itu serta lima lagi rakyat Malaysia ditahan selepas dipercayai memiliki 6,000 pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, awal pagi kelmarin.

Kesemua mereka berusia 25 hingga 32 tahun ditahan kira-kira 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.

Sumber