Penyanyi legenda serta Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau meninggal dunia pada pukul 4.46 petang di Hospital Teluk Intan, Perak, sebentar tadi, lapor Kosmo.

Berita itu disampaikan oleh menantunya, Hassan Ahmad. Beliau memaklumkan bahawa bapa mertuanya itu sememangnya sudah lama menderita dengan pelbagai komplikasi penyakit.

“Beliau ada banyak komplikasi penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Baru-baru ini, beliau dimasukkan ke hospital dan keadaan kesihatan terus merosot sejak itu.

“Sejak tiga hari lalu, keadaannya makin teruk dan mula meracau. Kondisi kencing manis yang dihidapi pula semakin merebak dan kronik,” katanya ketika dihubungi Kosmo sebentar tadi.

Tambah beliau, doktor sepatutnya mahu melakukan pembedahan memotong kedua-dua kaki pada hari ini namun tidak dapat dilakukan selepas mendapati tekanan darah penyanyi itu tidak begitu stabil.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak selepas solat Zohor, esok.

Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga penyanyi legenda itu. Semoga roh arwah dicucuri rahmat.

Sumber