Anggota kumpulan nasyid, Saujana yang cukup popular dengan lagu ‘Sepohon Kayu’ iaitu Dr Idzu Baharin kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, semalam.

Dr Idzu atau nama sebenar, Khairul Idzwan Baharin menyifatkan anugerah yang diterimanya adalah hasil pengorbanan selepas menyumbang kepada negara dalam industri Perubatan Regeneratif.

HYPE
Sempena MAHA 2024, Anda Berpeluang Menang Motosikal Setiap Hari Dengan Kempen AgroMAHA
Baca lagi →

Baca Juga:

“Alhamdulillah, saya sangat menghargai dan bersyukur atas pengurniaan gelaran Datuk ini, secara tidak langsung memberi saya satu semangat besar serta suntikan baharu untuk menjadi lebih berjaya dan menyumbang kepada negara dalam membangunkan industri perubatan regeneratif negara.

“Saya berasa lebih bertanggungjawab untuk membawa nama Malaysia supaya dikenali dalam bidang Perubatan Regeneratif yang mampu membantu ramai orang untuk kembali sihat dan muda,” katanya dalam Berita Harian.

Idzu merupakan pengasas syarikat perubatan, Cell Tissue Technology Sdn Bhd sejak 13 tahun lalu. Ia adalah syarikat berteknologi perubatan maju di Malaysia.

Syarikat itu juga menjadi peneraju utama dalam bidang Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif di Malaysia sejak penubuhannya.

Sepanjang 30 tahun terbabit dalam dunia perubatan, keusahawanan dan seni, Idzu sudah mendapat pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara.

Antaranya, Pengiktirafan SOONICORN oleh MOSTI (2024), Pengiktirafan Top 30 Usahawan Techno Dreams oleh MTDC (2023), Pengiktirafan sebagai Malaysia’s New Industrial Plan 2030 oleh MITI dan MIDA, Sumbangan Teknologi Terkini 3D Bioprinters Bernilai RM0.5 juta Kepada UKM, Penganugerahan sebagai Diplomat Malaysia Pertama oleh American Board of Regenerative Medicine (ABRM).

Selain itu, pada 2016 mendapat Pengiktirafan sebagai Malaysia’s First Manufacturer of Autologous Tissue Engineered Human Skin dan First Autologous Tissue Engineered Human Skin oleh The Malaysia Book of Records (MBOR).