Kehadiran penyanyi pop terkenal dunia, Taylor Swift di Singapura telah memberi impak positif kepada ekonomi negara tersebut. Difahamkan republik itu mendapat keuntungan besar iaitu sekitar RM1.7 bilion daripada penganjuran konsert berkenaan.

Walaupun penganjuran konsert Taylor Swift: The Eras Tour 2024 itu hanya berlangsung di Singapura, impaknya masih turut dirasai di negara jiran termasuk Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Antara yang dapat menikmatinya adalah penyedia perkhidmatan pengangkutan bas di Malaysia yang membawa ratusan peminat penyanyi tersebut yang dikenali sebagai ‘Swifties’ dari Kuala Lumpur ke negara berkenaan.

Seorang daripada penganjur rombongan itu, Amirul Sufi berkata, dia memperoleh pendapatan mencecah RM30,000 sehari hasil daripada perkhidmatan disediakan.

Menurutnya, jumlah itu diperoleh hasil daripada perkhidmatan tiga bas yang disediakannya rombongan satu hari ke konsert berkenaan.

“Kalau untuk The Eras Tour ini, dapat dalam RM25,000 ke RM30,000 sehari.

“Tapi ini sebenarnya bergantung kepada permintaan. Kalau kata demand masih ada, kita boleh tambah lagi bas dan kita punya margin (keuntungan) boleh lebih lagi,” katanya dalam satu video temu bual bersama BFM.

Amirul berkata, pendapatan yang diperolehi itu membolehkannya mendapat untung mencecah RM6,000 untuk tempoh sehari.

Mengulas mengenai modal diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan itu, beliau berkata, jumlah diperlukan untuk sebuah bas adalah sekitar RM4,000.

Katanya, nilai itu meliputi kos minyak, upah pemandu dan penyelenggaraan bas.

“Jadi itulah kos yang paling mahal,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan rombongan ke pelbagai destinasi lain di dalam negara.

Dalam pada itu, Amirul berkata, antara cabaran terbesar dalam menyediakan perkhidmatan itu adalah bagi memastikan semua pelanggan mendapat pengalaman perjalanan yang terbaik.

Tanpa aspek tersebut, beliau berkata, adalah sukar untuknya membina keyakinan dalam kalangan pelanggan.

Jelasnya, penganjur rombongan juga perlu berdepan dengan isu risiko seperti penipuan tiket, hotel dan juga penyediaan kenderaan pengangkutan itu sendiri.

“Tanpa perkhidmatan yang baik, kita tak boleh dapat pelanggan.

“Jadi bagaimana kita nak menguruskan isu berkenaan perjalanan, proses dokumen di sempadan, tukar outfit (baju) dekat mana, make up dekat mana dan makan dekat mana.

“…kita punya base (pelanggan) tak besar, jadi bila kita nak buat satu rombongan itu, nak bina kepercayaan sangat sukar,” ujarnya.

Sementara itu, Amirul mengakui bahawa penganjuran siri konsert seperti yang diadakan itu sememangnya memberikan manfaat yang sangat besar kepada pemain industri pelancongan sepertinya.

“Walaupun konsert itu itu buat dekat Singapura, bukan Singapura sahaja dapat impak ekonomi itu, saya pun dapat.

“Ini termasuk kawan-kawan saya seperti pemandu dan kelindan bas yang ‘tumbuh’ dengan saya dalam perniagaan ini,” katanya.

Dalam siri konsert jelajah dunia, Taylor Swift: The Eras Tour 2024, penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu menjadikan Singapura sebagai satu-satunya destinasi di Asia Tenggara. Hal ini sekaligus mendorong semua peminatnya datang ke negara itu untuk bertemu bintang pujaan mereka.

Sumber