Seorang penyelam komersial di Turkiye dikejutkan dengan penemuan sebuah kotak kayu misteri yang tertanam di dasar laut berhampiran pesisir pantai Antalya, baru-baru ini.
Kotak yang diikat ketat dengan rantai besi itu difahamkan mengandungi sebuah anak patung tali yang dicucuk jarum serta mempunyai simbol pelik, dipercayai berkaitan dengan ritual sihir atau voodoo.
Penemuan luar biasa itu dirakam oleh Ali Kilic, 36, yang sudah berpengalaman selama 14 tahun dalam bidang selaman komersial ketika melakukan aktiviti pembersihan dasar laut bersama seorang rakan sekerjanya, petik Turkiye Today.
Kotak Berantai Tertanam Dalam Pasir
Kilic dan rakannya kerap melakukan selaman untuk membersihkan kawasan perairan selain membantu mencari barangan milik orang awam yang terjatuh ketika melakukan aktiviti papan dayung berdiri (stand-up paddleboard). Rakaman aktiviti selaman mereka sering dikongsikan menerusi akaun media sosial @bidalgic.
Ketika sedang merakam kandungan terbaharu, Kilic menyedari terdapat objek asing yang hampir keseluruhannya tertimbus di dalam pasir. Berdasarkan pengalamannya, beliau mengesyaki objek tersebut bukanlah hidupan laut mahupun batu karang biasa.
Selepas menggali pasir di sekelilingnya, mereka menemui rantai besi yang membelit sebuah kotak kayu kecil dengan ketat, seolah-olah sengaja dikunci rapi agar tidak terbuka. Kotak tersebut kemudiannya dibawa naik ke permukaan sebelum rantai berkenaan berjaya diputuskan.
Antalya’da profesyonel dalgıç Ali Kılıç, denizin metrelerce derinliğinde zincirlenmiş bir kutu içinde, üzerine toplu iğneler saplanmış voodoo bebeği buldu:
"Halatla yapılmış bebek şeklinde ve kafa bölgesine, vücut bölgesinde belirli yerlerine iğneler batırılmıştı.
Tuhaf… pic.twitter.com/Uhr05rxcHX
— ENSONHABER (@ensonhaber) November 23, 2026
Patung Tali Penuh Jarum Dan Tulisan Pelik
Sebaik sahaja kotak kayu itu dibuka, kedua-dua penyelam terbabit menemui sebuah anak patung yang diperbuat daripada tali dengan beberapa batang jarum tercucuk pada bahagian kepala serta anggota badannya. Turut kelihatan pada patung tersebut adalah lakaran bentuk, tanda dan tulisan yang tidak difahami.
Hasil carian di internet membuatkan Kilic mengesyaki objek berkenaan mempunyai kaitan dengan amalan voodoo—ritual mistik yang sering dikaitkan dengan penggunaan patung sebagai perantara. Walau bagaimanapun, tujuan sebenar serta asal usul objek tersebut masih belum dapat dipastikan.
Tambah Kilic, walaupun mereka pernah menemui mangga kunci di dasar laut sebelum ini—yang lazimnya dibuang atas kepercayaan karut berkaitan jodoh atau nasib—ini merupakan kali pertama mereka berdepan dengan penemuan sebegini.
Bau Sulfur Dan Sakit Kepala Selepas Kotak Dibuka
Insiden tersebut menjadi semakin mencurigakan apabila rakan Kilic secara tidak sengaja terpijak paku ketika mereka sedang memeriksa patung berkenaan dan mencabut jarum-jarum padanya. Kejadian itu membuatkan mereka berseloroh kononnya sudah terkena ‘sumpahan’ patung misteri tersebut.
Lebih membimbangkan, Kilic memaklumkan bahawa kotak kayu itu mengeluarkan bau pelik seakan-akan sulfur sebaik sahaja ia dipecahkan.
Setibanya di rumah, kedua-dua penyelam itu dilaporkan mengalami sakit kepala. Namun, Kilic mengakui mereka tidak dapat mengesahkan sama ada simptom tersebut berpunca daripada bau yang dihidu atau sebaliknya. Beliau turut tidak menolak kemungkinan terdapat bahan kimia tertentu yang disapu pada isi kandungan kotak berkenaan.