Bagi anda yang pernah menonton filem keluaran DC Comics iaitu Aquaman, anda pasti akan mengetahui mengenai kisah Atlantis. Ia banyak dipaparkan di dalam filem Aquaman mengenai sebuah kerajaan yang berada di dalam air. Bagaimanapun, tahukah anda bahawa Atlantis bukan sahaja wujud di dalam filem, tetapi ramai orang percaya bahawa kewujudannya memang ada di dunia nyata.

Terdapat legenda terkenal di England yang menceritakan tentang kerajaan purba Cantre’r Gwaelod, yang pernah berdiri megah di Cardigan Bay, Wales sebelum hilang setelah dibadai ombak besar berabad-abad yang lalu. Kawasan ini digelar sebagai ‘Atlantis of Wales’ telah ditenggelami air, dipercayai akibat kecuaian seorang wanita yang gagal menahan perigi daripada melimpah. Sebahagian pula menyalahkan pegawai yang gagal menjaga perigi terbabit kerana mabuk. Namun tiada siapa yang mengetahui dengan pasti tentang kebenaran cerita ini, dan sama ada kerajaan itu benar-benar wujud atau hanya mitos.

Bagaimanapun, cerita lagenda ini mula menjadi buah mulut orang ramai apabila The Guardian melaporkan penemuan seorang pengkaji, Simon Haslett, profesor dalam bidang geografi fizikal di Swansea University di Wales yang telah berjaya melakukan penemuan yang menguatkan bukti kewujudan dua pulau ini. Diterbitkan dalam Atlantic Geoscience, kajian itu “menawarkan idea evolusi pantai selepas glasier Teluk Cardigan” yang membawa kepada kehilangan kedua-dua pulau.

“Kajian ini menyiasat sumber sejarah, serta bukti geologi dan batimetri, dan mencadangkan model evolusi pantai pasca glasier yang menjelaskan mengapa pulau itu mungkin ‘hilang’. Kajiannya juga menyediakan rangka kerja hipotesis untuk penyelidikan masa depan,” tulis Haslett dan penyelidik bersama David Willis, juga seorang profesor di Universiti Oxford. “Bukti sastera dan cerita rakyat menyokong teori hubungan antara Cardigan Bay dan dataran rendah Cantre’r Gwaelod yang ‘hilang’.”

Apa yang menariknya, kajian yang dilakukan oleh kedua ilmuwan ini merupakan kajian pertama yang menyiasat mengenai kewujudan dua pulau ini yang muncul di Peta Gough, peta tertua Kepulauan British yang bertarikh abad ke-13 atau ke-14. Bagaimanapun, disebabkan peredaran masa, terdapat perbezaan yang besar dari segi bentuk muka bumi yang dipaparkan melalui peta tersebut dengan sekarang.

“Hakisan nampaknya telah berlaku pada abad ke-16, kerana kedua-dua pulau itu tidak lagi kelihatan pada versi peta yang lebih baharu, seperti Mape Thomas Butler di luar Ynglonnd pada 1547–1554,” katanya.

Kedua penyelidik menekankan bahawa pemerhatian yang lebih dalam perlu dilakukan kerana setiap teori perlu keluar dari sempadan sejarah, sastera dan tradisi. Haslett dan Willis mengambil contoh kisah tenggelamnya Cantre’r Gwalod secara tiba-tiba. Legenda itu tidak sesuai dengan penjelasan kenaikan paras laut yang mengakibatkan pulau itu tenggelam.

Penyelidik dakwa temukan ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck’ di dasar laut Indonesia. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Penyelidik Dakwa Temukan ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck’ Di Dasar Laut Indonesia

Kajian Ketum Ilmuwan Malaysia Menang Anugerah Antarabangsa Di Jerman

Ilmuwan Indonesia Dakwa Piramid Tertua Dunia Ada Di Jawa Barat, Wujud 10,000 Tahun Yang Lalu