Hasrat penyerang Perancis, Antoine Griezmann untuk beraksi bersama FC Barcelona akhirnya menjadi kenyataan apabila pemain itu sah menyertai The Catalan dengan yuran perpindahan sebesar €120 juta.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Barca, pemain berusia 28 tahun itu akan menandatangani kontrak selama 5 tahun dengan klausa pelepasan yang dikategorikan sebagai antara yang tertinggi di dunia dengan nilai €800 juta.
Namun, kelab lama Griezmann, Atletico Madrid menegaskan mereka sepatutnya mendapat pulangan yang lebih daripada urusan penjualan pemain itu dan berencana untuk membawa juara La Liga musim 2018/2019 itu ke meja hukum.
Atletico mendakwa Griezmann bersetuju untuk menyertai Barcelona pada awal bulan ini ketika klausa perpindahan pemain itu masih bernilai €200 juta.
“Atletico menganggap jumlah yang dibayar tidak cukup untuk mengaktifkan klausa pembelian pemain terbabit kerana jelas rundingan antara pemain dan FC Barcelona telah ditutup pada harga €200 juta bukannya €120 seperti yang diumumkan oleh Barca,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Atletico.
Antoine Griezmann menyertai Atletico Madrid pada 2014 daripada Real Sociedad dengan yuran perpindahan sebesar €30 juta. Ketika beraksi bersama seteru Real Madrid itu, Griezmann berjaya menjaringkan 133 gol dalam 256 penampilan dan membantu Atletico mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2016 serta memenangi UEFA Europa League (UEL) pada 2018.
Griezmann akan memakai jersi bernombor 7, dimana musim lalu nombor tersebut dipakai oleh pemain Brazil, Philippe Coutinho.