Ratusan penyokong Harimau Malaya ‘ditahan’ lebih sejam selepas tamat perlawanan Malaysia menentang Indonesia dalam aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), malam tadi.
Namun, situasi itu bukan berpunca daripada sebarang kekecohan atau insiden antara penyokong kedua-dua negara.
Sebaliknya, ia adalah prosedur keselamatan khas diambil oleh pihak keselamatan Indonesia.
langkah berkenaan diambil pihak keselamatan bagi memastikan keselamatan penyokong Malaysia terus terjamin ketika puluhan ribu penyokong Indonesia meninggalkan stadium terlebih dahulu – menurut laporan BH Online.
Sepanjang tempoh berkenaan, penyokong Malaysia diarahkan untuk kekal di kawasan yang ditetapkan pihak keselamatan.
Ramai yang memuat naik rakaman di media sosial ketika mereka ditahan seketika di dalam stadium.
Puluhan anggota keselamatan turut ditempatkan di sekitar pagar bagi mengawal pergerakan penyokong pelawat serta memastikan mereka tidak menghampiri kawasan penyokong Indonesia.
Penyokong Malaysia kemudiannya dibenarkan bergerak keluar secara berperingkat selepas keadaan di sekitar stadium kembali reda.
Sepanjang tempoh menunggu itu, keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang kekecohan atau provokasi daripada penyokong Indonesia.
Langkah keselamatan tersebut dibuat susulan kehadiran 56,894 penonton pada perlawanan yang berlangsung dalam suasana cukup meriah di GBK.
Di atas padang, Malaysia terikat 0-0 dengan Indonesia.
Lebih menarik, Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-35.
Bagaimanapun, Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan pemain untuk mendapatkan kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata.
Harimau Malaya selepas ini akan menamatkan saingan kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.