Netizen meluahkan rasa berang di media sosial terhadap peranan parti Muda yang dikatakan telah memecahkan undi pada pilihan raya negeri semalam.
Seorang pengguna Twitter dengan nama @bumilangit dalam ciapannya berkata, “Singkirkan Muda. Sombong, jahil, dan pecahkan undi, menyebabkan PN menang.”
Seorang lagi pengguna Twitter, @hermyrahim pula menyalahkan Muda kerana menyebabkan calon Pakatan Harapan di Sungai Kandis dimenangi oleh Perikatan Nasional
“Sungai Kandis kalah dengan 167 undi, jika Muda tidak bertanding, kita akan menang,” katanya.
Seorang lagi pengguna Twitter @faIqfahmie secara sinis mengucapkan tahniah kepada Muda kerana dianggap berperanan dalam memecahkan undi.
“Tahniah Muda kerana pecahkan undi. Itu sahaja fungsi anda,” katanya.
Malam tadi, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan calonnya, yang kesemuanya hilang wang deposit.
Keputusan Muda untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos lalu menyaksikan parti itu mencabar pakatan PH-BN di beberapa kerusi sehingga ia memberi kesan pecah undi.