Pesisir pantai Rantau Abang sekali lagi merekodkan pendaratan spesies penyu gergasi yang dianggarkan mendarat sekitar jam 4:45 pagi tadi, membawa penemuan sebanyak 81 biji telur.

Pendaratan hidupan laut ikonik yang mesra digelar ‘Raja Penyu’ oleh penduduk tempatan itu dikesan tepat selepas selang 13 hari daripada pendaratan terdahulu, petik Facebook Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Spesies berkenaan dipercayai daripada jenis penyu Belimbing yang sama berdasarkan rekod pendaratan di perairan Marang pada 1 September lalu.

Penemuan tersebut direkodkan secara bersama oleh kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Encik Mohd Saipulmizam Bin Hamzah, dengan kerjasama dua pemajak kawasan, Encik Mohd Bin Salleh (Rantau Abang) dan Encik Mohd Amirudin Bin Maznan (Jambu Bongkok).

Mengikut analisis fizikal dan kesan sarang, ibu penyu berkenaan merekodkan lebar kesan rangkakan mencecah 2.20 meter di pesisir pantai.

Kesemua 81 biji telur berkenaan telah dipindahkan serta-merta ke tapak penetasan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang bagi tujuan perlindungan dan proses penetasan selanjutnya.

“Pendaratan ini memberikan petanda positif terhadap usaha pemulihan ekosistem maritim serta memulihara populasi spesies penyu gergasi yang pernah menjadi kebanggaan dan warisan konservasi di Rantau Abang,” kata Jabatan Perikanan Negeri Terengganu