Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyalahkan dirinya sendiri hingga menyebabkan kelab tersebut mengalami lapan kekalahan dalam 11 perlawanan terakhir.
Daripada lapan kekalahan tersebut, lima daripadanya hadir dalam saingan English Premier League (EPL) 2024/25 yang menyaksikan Manchester City jatuh ke tangga kelima.
Baca Juga:
- Pep Guardiola: Mana Ada Pasukan Kekal Konsisten Selama 10 Musim
- ‘Saya Menang EPL Dengan Jujur Dan Adil’ Jose Mourinho Kepada Pep Guardiola
- Tekanan Melampau, Pep Guardiola Cederakan Diri Sendiri
Daripada pendahulu liga dan kini Manchester City ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool.
Yang terbaharu pastinya kekalahan perit ke atas musuh tradisi, Manchester United 1-2 di Etihad Stadium meskipun The Cityzens mendahului pada babak pertama menerusi jaringan Josko Gvardiol.
Manchester United bagaimanapun bangkit pada minit-minit akhir permainan hasil jaringan Bruno Fernandes dan Amad Diallo.
Sehubungan dengan itu, pengendali kelahiran Sepanyol itu merasakan dirinya menjadi punca kepada kegagalannya untuk bangkit pada ketika ini.
“Saya adalah ketua, saya adalah pengurus, saya perlu untuk mencari jalan penyelesaian tetapi saya tidak berjaya mendapatkannya,” ujar Pep menurut sumber laporan Sky Sports.
“Ini merupakan kelab besar dan apabila anda tewas lapan daripada 11 perlawanan, ada perkara yang tidak kena. Anda boleh mengatakan tentang jadual yang sukar atau kecederaan pemain, tetapi tidak.”
“Saya adalah pengurus dan saya masih tidak cukup bagus (menjalankan tugas), mudah sahaja. Saya perlu untuk mencari jalan bercakap dengan mereka, melatih mereka cara kita perlu bermain, untuk menekan cara kita perlu menekan.”
“Saya tidak cukup baik. Saya tidak melakukan dengan baik. Itu adalah kebenarannya,” tambah Pep Guardiola lagi.