Perak Bison menoktahkan kempen STL 2026 GP Pulau Pinang dengan nota penuh gemilang selepas muncul juara hasil kejayaan menundukkan Negeri Sembilan Antlers 2-0 pada aksi final di Kompleks Sukan Balik Pulau, malam tadi.
Kemenangan manis dilakarkan itu turut menebus kehampaan Perak Bison yang tewas pada aksi Piala Sumbangsih kepada lawan sama dan sekadar melangkah ke suku akhir di GP Perak tempoh hari.
Perak Bison Cemerlang Di GP Pulau Pinang
Pada aksi final tersebut pengendali, Mohd Tajuddin Ahmad terus meletakkan kepercayaan kepada Pornthep Tinbangbon (tekong), Muhammad Nazrein Daniel Bin Mohd Kamal Mustafa selaku apit kanan dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri).
Pornthep seperti kebiasaan terus mempamerkan variasi servis padu dan Nazrein pula kali ini tampil dengan lebih bertenaga untuk menutup mulut pengkritik terhadap aksinya sebelum ini. Sementara itu, Amirul Zazwan dengan tenang mengawal permainan.
Keadaan itu membuatkan trio Negeri Sembilan Antlers yang dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari di apit kiri berdepan masalah terutamanya pada set kedua.
Walaupun diberikan laluan berliku pada set pertama, Perak Bison menyerap tekanan dengan baik untuk menang 17-15.
Aksi set kedua lebih mudah dengan Haziq dilihat sedikit hilang punca yang membolehkan Perak Bison menggunakan kesempatan tersebut dan akhirnya mereka mengesahkan kejuaraan dengan 15-9.
Kejayaan manis itu diserikan lagi dengan anugerah individu menjadi milik Pornthep selaku tekong terbaik manakala Amirul Zazwan bergelar apit kiri terbaik.