Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Yang Berhormat (YB) Loh Sze Yee mendedahkan bahawa Perak merupakan negeri yang paling ramai dikunjungi pelancong domestik pada tahun 2024.
Menurut sumber Sinar Harian, perkembangan terkini mengenai statistik kehadiran pelancong domestik ke Perak itu diterbitkan dalam laporan Survei Pelancongan Domestik 2024 yang dikelurkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Baca Juga:
- Orang Perak Paling Hebat ‘Speaking’ Bahasa Inggeris, Lapor Data Antarabangsa
- Kerajaan Negeri Perak Umum Bonus Raya RM500 Buat Guru KAFA, Takmir
- Selepas Bola Sepak, Trio Bekas Pemain Perak Ini Ceburi Perniagaan Makanan
Menurut Sze Yee yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Jalong itu seramai 10.2 juta pelancong domestik dilaporkan telah berkunjung ke Perak pada tahun 2024.
Keadaan yang menunjukkan peningkatan kehadiran pelancong domestik ke negeri tersebut sebanyak 35.1 peratus berbanding tahun 2023.
Perak Atasi Selangor dan Pahang
Jumlah tersebut juga sekali gus telah mengatasi kehadiran pelancong domestik ke Selangor yang mencatatkan 9.6 juta pelancong domestik dan Pahang pula seramai 9.5 juta.
“Sebelum ini, Perak merekodkan peningkatan ketara kehadiran pelancong antarabangsa sebanyak tiga kali ganda. Kali ini, kita berjaya pula menjadi juara dalam kategori pelancongan domestik.”
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk pemain industri pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi kempen Tahun Melawat Perak 2024,” ujar Loh Sze Yee.
Menurut beliau lagi, daerah yang menarik kehadiran ramai pelancong domestik adalah Kinta, Larut Matang dan Selama, Manjung, Kuala Kangsar serta Batang Padang.
Antara destinasi pelancongan utama yang berjaya menarik kehadiran ramai pelancong domestik ke Perak ialah Teluk Batik, Lumut Waterfront, Pasar Malam Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang dan Pulau Pangkor.