Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan memberi peringatan tentang kenaikan kos sara hidup secara beransur-ansur berikutan konflik geopolitik Iran-Amerika Syarikat (AS) yang semakin meruncing di Timur Tengah.

Menurut beliau, harga pengangkutan dan makanan dijangka menghadapi tekanan yang paling awal dan berlakunya peningkatan kos minyak, logistik, dan input pertanian yang memberi kesan kepada ekonomi, petik The Star.

Baca Juga:

“Perkhidmatan berkaitan pengangkutan cenderung bertindak balas terlebih dahulu semasa tempoh konflik global, didorong oleh pelarasan yang lebih pantas dalam logistik, operasi berkaitan bahan api, dan kos pengangkutan komersial.

“Harga makanan biasanya menyusul dengan sedikit kelewatan memandangkan perbelanjaan baja, makanan ternakan, dan pengedaran yang lebih tinggi disalurkan secara beransur-ansur melalui rantaian bekalan,” kata beliau.

Memetik laporan itu lagi, Sedek berpendapat bahawa rakyat Malaysia harus bersedia untuk menghadapi kenaikan harga yang sedikit lebih tinggi tahun ini, terutamanya dalam kategori perkhidmatan dan berkaitan makanan, dan bukannya lonjakan mendadak dalam kos bahan api atau elektrik.

“Isi rumah dinasihatkan untuk menyemak semula corak perbelanjaan dan membina sedikit rizab tunai (liquidity buffer) bagi menguruskan turun naik jangka pendek,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa risiko sebenar terletak pada kos insurans dan penghantaran yang lebih tinggi, bukannya kekurangan bekalan fizikal kerana saluran import Malaysia kekal pelbagai dan berfungsi.

Mengenai peranan kerajaan, beliau berkata sokongan fiskal harus menumpukan kepada pembendungan kos di punca asal, terutamanya dalam sektor logistik dan pertanian.

“Kerajaan harus menstabilkan kos baja dan menyediakan sokongan bersasar di sepanjang rantaian bekalan makanan, kerana ia akan menjadi lebih berkesan dalam mencegah inflasi yang meluas berbanding pemberian tunai segera.

“Memperkukuh pemantauan harga dan mengekalkan struktur subsidi bahan api sedia ada akan terus mengukuhkan jangkaan pasaran tanpa membebankan ruang fiskal negara,” kata beliau.

Sumber