Sebahagian pengamal perubatan Islam sedia melakukan ruqyah secara dalam talian yang mana mereka akan merawat seseorang pesakit dengan hanya berhubung di dalam siaran TikTok atau media sosial lain.
Di sini, timbul satu persoalan adakah ia benar-benar efektif atau sekadar cara untuk meraih hadiah berupa wang yang boleh dijana menerusi siaran langsung.
Menurut Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah menerusi akaun TikToknya, keberkesanan doa dan ruqyah tidak bergantung pada medium seperti telefon atau TikTok.
Bagaimanapun, faktor utama yang menentukan keberkesanannya adalah niat dan keikhlasan.
“Kalau Allah kata, kamu mendoakan orang di TikTok live, meruqyahkan orang secara TikTok live, ada orang yang berkenaan angkat tangan dan berdoa, boleh tak? Boleh.
“Dengan izin Allah ia tidak mustahil (berkesan),” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Dr. Fadzilah Kamsah mengingatkan bahawa ada individu yang mengambil kesempatan dengan meminta hadiah maya (gift) di media sosial sebagai syarat sebelum membacakan doa.
“Kalau nak berkesan ataupun makbul doa ruqyah yang saya bacakan kat TikTok live ni, hantar gift dulu… topi dengan misai ke, atau harimau.
“Itu dikhuatiri tipu, sebab kalau kita mendoakan atau ruqyah perlu secara ikhlas,” katanya, merujuk kepada ‘syarat’ ditetapkan perawat yang melakukan siaran langsung di TikTok.
Berdasarkan pengalamannya sejak tahun 1980-an, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah pernah merawat ahli keluarga dari jarak jauh menggunakan doa dan ruqyah melalui panggilan telefon.
“Bila anak saudara yang duduk jauh ada demam atau gangguan, saya ruqyahkan atau doakan online.
“Saya minta dia sediakan air, kemudian saya hembus melalui telefon. Lepas tu bagi minum kepada anak yang sakit. Dengan izin Allah, boleh (berkesan),” jelasnya.
Baginya, doa atau ruqyah hanyalah ikhtiar dan bukan kuasa penyembuh itu sendiri.
“Bukan doa yang menyembuhkan, bukan ruqyah yang menyembuhkan tetapi Allah yang menyembuhkan,” kongsinya.
Boleh lihat video penjelasan beliau di bawah ini:-
@mfadzilahkamsah Ruqyah online ni betul ke scam? #pesantokabah #tipsperkahwinan #ceramahmotivasi #pesantokabah #drfadzilahkamsah