Perdana Menteri Britain memberitahu Ahli Parlimen pada hari Rabu bahawa kerajaan telah mengeluarkan lesen yang membenarkan hasil penjualan Chelsea dipindahkan ke sebuah yayasan baharu bagi tujuan kemanusiaan di Ukraine.
“Pesanan saya kepada Abramovich ialah ini: masa semakin suntuk,” katanya memberikan amaran kepada billionaire asal Rusia itu.
“Tunaikan komitmen yang telah anda buat dan bayar sekarang, dan jika anda gagal berbuat demikian, kami bersedia membawa perkara ini ke mahkamah supaya setiap sen sampai kepada mereka yang kehidupannya telah musnah akibat perang haram Putin,” tambahnya lagi.
Abramovich menjual Chelsea pada Mei 2022 selepas beliau dikenakan sekatan susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada awal tahun tersebut.
Oligarki Rusia itu sebelum ini berjanji untuk menderma hasil penjualan kelab kepada rakyat Ukraine, namun sehingga kini gagal mencapai persetujuan dengan kerajaan Britain mengenai mekanisme pelaksanaannya, menyebabkan dana tersebut masih dibekukan.
Setiausaha Luar Britain, Yvette Cooper, memberitahu Sky News bahawa kerajaan telah mencuba “setiap jalan yang mungkin” untuk mendapatkan Abramovich “melakukan perkara yang betul”.
“Terdapat usaha besar yang telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan Roman Abramovich menunaikan komitmennya dan melakukan apa yang sepatutnya. Pelbagai pendekatan telah dicuba selama bertahun-tahun, namun semuanya gagal,” katanya.
“Ini tidak berkait dengan masa rundingan damai antara Ukraine dan Rusia. Kami telah sampai ke tahap ini selepas mencuba segala-galanya. Kini kami mengambil tindakan.”
Keputusan untuk memberikan lesen pemindahan dana pada hari Rabu bertujuan memaksa Abramovich menunaikan janjinya sebelum kerajaan mengambil tindakan undang-undang.
Kerajaan sebelum ini telah membangkitkan kemungkinan tindakan undang-undang pada bulan Jun, apabila Canselor Rachel Reeves dan Setiausaha Luar ketika itu, David Lammy, menyatakan rasa “kecewa” terhadap kegagalan mencapai persetujuan dengan Abramovich.
Pada hari Rabu, Reeves menyifatkan situasi wang tersebut terus dibekukan di sebuah bank UK sebagai “tidak boleh diterima” dan menegaskan kerajaan “bersedia melakukan apa yang perlu” untuk memastikan dana itu sampai ke Ukraine.
Perkara ini susulan kenyataan Perdana Menteri yang menggesa jutawan Rusia itu supaya “membayar sekarang” atau berdepan tindakan mahkamah oleh kerajaan Britain.
Wartawan Sky Sports News, Kaveh Solhekol, menjelaskan bahawa kebuntuan antara kerajaan UK dan Abramovich menjadi punca kelewatan tersebut.
Menurutnya, kerajaan mahukan wang itu disalurkan khusus kepada Ukraine, manakala Abramovich mahu ia diberikan kepada “semua mangsa” perang, termasuk kemungkinan sebahagiannya ke Rusia.
Abramovich dikenakan sekatan pada waktu penjualan Chelsea, dan penjualan itu hanya dibenarkan melalui lesen khas dengan syarat beliau tidak menerima sebarang manfaat peribadi.
Walaupun wang itu secara sah masih milik Abramovich, beliau tidak mempunyai akses kepadanya.
Solhekol berkata pendirian kerajaan kini jelas: kesabaran telah hilang dan dana tersebut mesti disalurkan kepada mangsa perang di Ukraine sahaja, bukan kepada Ukraine dan Rusia.
Beliau menambah bahawa Abramovich sebenarnya tidak pernah mahu menjual Chelsea, tidak memerlukan wang tersebut, dan cukup popular dalam kalangan penyokong kerana dilihat benar-benar menyayangi kelab itu.
Namun, dari sudut politik, penyaluran dana tersebut menjadi isu rumit. Solhekol juga berpendapat bukan mudah bagi kerajaan UK untuk memaksa Abramovich melepaskan wang tersebut, tetapi mesej Perdana Menteri jelas — masa semakin suntuk dan kerajaan kini bersikap tegas kerana wang itu terlalu lama dibekukan tanpa penyelesaian.