Tular di media sosial berhubung isu pihak Perhilitan yang menggunakan anak anjing sebagai umpan untuk menangkap harimau kumbang. Hal ini sekaligus menjadi perdebatan di kalangan pengguna maya yang mana tidak berpuas hati dengan tindakan itu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini menjelaskan tindakannya menggunakan anak anjing sebagai umpan hidup dalam operasi menangkap harimau kumbang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lepas.

Baca Juga:

Memetik FMT, Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hassan menegaskan tiada anak anjing yang cedera dalam operasi itu, manakala semua SOP dipatuhi.

Katanya, Perhilitan biasanya menggunakan kambing hidup untuk menangkap harimau dan harimau kumbang, tetapi umpan itu tidak berjaya kali ini.

“Kami cuba umpan harimau kumbang itu dengan kambing hidup, tetapi gagal.

“Menurut petunjuk dalam kes ini, harimau kumbang itu menyerang anjing, jadi kami menggunakan anak anjing supaya bau dan salakannya menarik haiwan itu,” katanya kepada FMT.

Harimau kumbang hanya akan memasuki perangkap dengan umpan haiwan yang biasa menjadi mangsanya, tambahnya.

Menurutnya lagi, Perhilitan terpaksa menggunakan anak anjing kerana anjing dewasa tidak muat dalam perangkap berkenaan.

Kemudian, anak anjing itu terus dilepaskan sebaik harimau kumbang berkenaan ditangkap.

Kadir menjelaskan, sangkar digunakan untuk menangkap harimau kumbang itu juga mempunyai bukaan berasingan yang membolehkan umpan itu terus dikeluarkan sebaik haiwan liar itu memasuki perangkap.

Sementara itu, sebuah NGO Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM) telah mempertikai tindakan Perhilitan menggunakan anak anjing yang hidup sebagai umpan. Perkara ini dianggap sebagai tidak berperikmanusiaan dan sepatutnya menggunakan daging mentah sahaja.

Disoal mengapa daging mentah tidak digunakan sebagai umpan, Kadir berkata, penggunaan umpan hidup ialah prosedur biasa kerana ia menarik haiwan liar.