Memang dapat dilihat masih berlaku ketegangan antara pemboikot-pemboikot terhadap individu yang berkerja dengan syarikat berkait hubungan bersama Palestin.
Agak mengejutkan lagi apabila kedengaran berlakunya kekasaran secara fizikal mahupun lisan kepada pekerja di tempat kerja masing-masing.
Baca Juga:
- Dakwa BDS Lambat Jelaskan Isu Boikot KFC, Ini Apa Yang Netizen Perlu Tahu
- ‘KFC Tidak Pernah Masuk Dalam Senarai Boikot’ – BDS Malaysia
- McDonald’s Malaysia Tarik Balik Saman RM3 Juta Terhadap BDS

Seorang pegawai kanan McDonald’s Malaysia menzahirkan kebimbangan atas vandalisme dan tindakan agresif terhadap pekerja dan pelanggannya.
Azmir Jaafar, yang merupakan pengarah urusan dan rakan operasi tempatan, akui betapa pentingnya kesatuan untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin tetapi jangan hingga menyakiti sesama rakyat Malaysia.
“Kita semua rakyat Malaysia, justeru, tingkah laku sebegini amat menyedihkan dan tidak positif,” katanya dalam kenyataan, dan menambah keselamatan rakyat Malaysia juga perkara utama.
Selain tindakan agresif terhadap pekerja dan pelanggan McDonald’s Malaysia, Azmir memaklumkan vandalisme terhadap restoran semakin menjadi-jadi dan berleluasa.
“Tindakan ini mencetuskan tekanan dan keresahan kepada pekerja kami serta masyarakat sekeliling,” katanya.
Sementara itu, Azmir menyeru rakyat Malaysia bersama-sama memperjuangkan isu Palestin dengan cara yang bertanggungjawab dan daya upaya yang termampu.
“Tindakan vandalisme dan keganasan tidak akan membawa apa-apa manfaat, malah lebih buruk padahnya,” katanya.
McDonald’s menjadi sasaran boikot selepas penerima francais di Israel, Alonyal, mengumumkan ia akan menyumbang makanan percuma kepada tentera Israel ketika serangan di Gaza.
Diharapkan semua pihak mengambil perhatian dan bersikap rasional dalam menunjukkan solidariti buat rakyat Gaza tanpa perlu menyakiti orang lain atau melakukan vandalisme sesuka hati.