Penyanyi terkenal Indonesia, Rossa menyifatkan solidariti Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin lebih ‘kuat’ berbanding di Indonesia.

Menurut laman OhBulan, Rossa atau nama sebenarnya Rossa Roslaina Sri Handayani akui, turut merasakan impak dalam gerakan boikot seperti #Blockout2024 di Malaysia.

Sumber Gambar: mingguan kerja

“Sebenarnya gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Saya merasakan impak blockout itu hanya di Malaysia.

“Mungkin kerana di Indonesia negaranya besar jadi, ada sebahagian masyarakat mempunyai pemikiran masing-masing tapi ianya tidak mengurangkan rasa solidariti terhadap Palestin.

“Mungkin ada di antara mereka yang bekerja di jenama-jenama tertentu (pro Israel) tidak dapat berbuat apa-apa tapi tidak bermakna mereka tidak menyokong saudara Islam di Palestin.

Dalam pada itu, Rossa turut memaklumkan meskipun gerakan boikot tidak terlalu kuat di Indonesia, tetap rakyat di sana masih mengambil bahagian dalam menunjukkan solidariti terhadap saudara di Palestin.

Apabila ditanya mengenai pendiriannya tentang isu boikot, Rossa berkata dia kini tidak lagi mempromosikan jenama produk yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis.

“Saya tidak mempromosi barangan jenama pro Israel. Dia sebenarnya bergantung juga, kalau untuk tujuan kerja dan selagi ia bukan hard sell, mungkin saya tidak kisah untuk terlibat menghadiri acara mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, wujud gerakan Blockout 2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Malah, rakyat Malaysia sendiri mengambil bahagian dengan menyekat sejumlah selebriti tempatan termasuklah Daiyan Trisha, Siti Saleha, Awal Ashari dan banyak lagi.