Jurulatih badminton berpengalaman, Wong Tat Meng menunjukkan perkembangan positif selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Garland Valley, Sydney pada 7 September lalu.

Menurut sumber laporan Roketto Badminton, Tat Meng yang sebelum ini berada dalam keadaan kritikal kini semakin stabil dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan memberangsangkan.

Baca Juga:

Selepas beberapa minggu dirawat di unit rawatan rapi (ICU), bekas jurulatih kepada bintang badminton Korea Selatan, An Se Young itu kelihatan cukup ceria untuk menjalani proses pemulihan.

Perkembangan Terkini Keadaan Wong Tat Meng

“Hari yang indah, tak terlalu panas. Akhirnya selepas empat hari, hari ini adalah hari pertama keluar dengan kerusi roda dan pergi ke lobi [menikmati] jus tembikai,” ujar Tat Meng dengan cukup ceria.

Laman Facebook Roketto Badminton juga dalam kemas kini di media sosial turut memuatnaik video yang menunjukkan Wong Tat Meng telah mula melakukan senaman ringan dan mampu duduk di kerusi roda.

Malah, jurulatih berusia 58 tahun itu juga sudah mula mampu untuk berjalan serta turut dibawa menikmati udara luar selepas sekian lama di hospital.

Perkembangan positif itu turut menggembirakan ramai pihak dalam komuniti badminton, termasuk rakan jurulatih dan bekas pemain yang pernah bekerjasama dengannya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menyampaikan ucapan semangat serta menghantar jambangan bunga bagi mewakili sokongan kerajaan Malaysia terhadap perjalanan pemulihan beliau.

Dalam satu hantaran di media sosial, Wong Tat Meng menzahirkan rasa terharu atas perhatian dan doa yang diterima daripada seluruh peminat sukan tanah air.

Selepas menamatkan tugasannya dalam membimbing Lee Zii Jia, Wong Tat Meng berkelana ke Australia untuk bergelar Pengarah Kejurulatihan dan Program Roketto Badmintonpada 20 Mei lalu.