Maybank mengumumkan peluasan perkhidmatan QRPay rentas sempadannya ke China, salah satu yang pertama dalam pasaran untuk bank Malaysia.

Peluasan itu menguatkan keupayaan pembayaran rentas sempadan sedia ada Maybank dan meningkatkan kemudahan dan kecekapan transaksi kewangan secara digital.

Artikel Berkaitan:

Memetik kenyataan rasmi Maybank, inisiatif ini bertujuan untuk memanfaatkan lebih 8 juta pengguna aplikasi Maybank MAE yang melawat China serta lebih 700,000 peniaga Maybank QRPay di Malaysia melalui transaksi yang dibuat oleh pelancong dari China.

Pelancong dari Malaysia boleh membuat pembayaran tanpa tunai itu melalui mana-mana peniaga AliPay. Pengguna perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MAE dan seterusnya memasukkan jumlah pembayaran yang akan ditukar kepada mata wang tempatan China, Renminbi China.

Pada awal 2023 lalu, Maybank melancarkan ciri QRPay rentas sempadan yang disediakan untuk pengguna aplikasi MAE Malaysia yang melancong sekitar negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Dalam masa sama peniaga Maybank QRPay sedia ada boleh menerima pembayaran daripada pelancong yang menggunakan aplikasi pembayaran yang disokong dari negara-negara ini.

Pelancong China terus menjadi segmen sasaran utama bagi Malaysia, di mana Kementerian Pelancongan mengumumkan kira-kira 16 juta pelancong untuk 2023, di mana 5 juta daripadanya dijangka dari China.

Sebelum wabak COVID-19 pada 2019, pelancong China dilaporkan telah berbelanja di Malaysia sebanyak RM15.3 bilion.

Sumber