Malaysia meraih kemenangan pada perlawanan persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium PAT, Bangkok sebentar tadi  selepas menundukkan Laos dengan keputusan 3-1.

Perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penyokong itu menyaksikan pemain terpaksa bermula dengan aksi di atas permukaan padang becak ekoran hujan lebat di sebelah petang.

Baca Juga:

Berdepan lawan yang berada di kedudukan ke-187 dalam ranking dunia jelas memberikan kelebihan buat skuad kendalian Pau Marti Vicente itu untuk menguasai permainan meskipun air bertakung pada babak pertama.

Ia jelas dibuktikan apabila Paulo Josue mendapat peluang terbaik pada minit kelima untuk mendapatkan jaringan tetapi tandukannya dalam kawasan penalti diselamatkan penjaga gol, Keo Oudone.

Sepakan penjuru yang diberikan hasil situasi tersebut digunakan sepenuhnya pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar untuk menanduk masuk bola bagi memberikan kelebihan buat Malaysia.

Kem Malaysia tersentak pada minit ke-34 selepas kesilapan Matthew Davies yang gagal membaca keadaan bola dengan baik sekali gus membolehkan Kydavone Souvanny menolak masuk bola untuk kembali mengikat kedudukan.

Kemasukan Stuart Wilkin dan Sergio Aguero pada babak kedua nyata meningkatkan kemampuan skuad negara dalam usaha untuk memburu jaringan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-64 apabila Wilkins dikasari dalam kawasan penalti oleh Sengdaovy Hanthavong dan beliau sendiri mengambil sepakan itu untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Satu lagi kesilapan barisan pertahanan skuad negara hampir dihukum tetapi mujur Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tenang menafikan percubaan penyerang Laos pada minit ke-78.

Memasuki minit ke-83, giliran Aguero pula meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau menyempurnakan sepakan penalti ketika beliau dikasari pemain gantian, Phoulaung Vinnavong.

Kemenangan penting dilakarkan itu mampu meningkatkan moral pemain skuad negara menjelang aksi persahabatan kedua bertemu India di Hyderabad pada 18 November nanti.