Negeri Perlis sering kali membuat netizen tersenyum ketika berbual kerana ia dianggap negeri berpangkat ‘adik’, berbanding negeri-negeri lain kerana saiznya yang kecil dan ‘penduduknya 8 orang’.
Baru-baru ini nama Perlis menjadi bualan warga TikTok apabila TikTok @saudagarkotaktelur memuat naik satu video menunjukkan sebuah pusat beli belah sudah hampir siap dibina di negeri Indera Kayangan itu.
@saudagarkotaktelur Lepas ni Kami tak payah pi Aloq staq dah 😬 #bangounkakireview #perlisinderakayangan #kangarjayaperlis
Daripada komen-komen yang ditinggalkan warganet, ramai mendakwa ia merupakan pusat beli-belah di bawah kelolaan C-Mart.
C-Mart ialah rangkaian pasar raya yang beroperasi di Malaysia, dengan ibu pejabatnya terletak di Alor Setar, Kedah. Jenama itu berkembang pesat di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Ramai yang gembira melihat perkembangan pusat beli belah tersebut. Bagi penduduk tempatan, pembukaan pusat beli-belah itu nanti dapat menjimatkan masa daripada sebelum ini yang terpaksa pergi ke negeri jiran, Kedah untuk membeli-belah.
Ada yang bimbang pusat beli-belah baharu itu akan menjadi ‘gajah putih’ kerana kurang mendapat sambutan.
Bagaimanapun warganet menegaskan terdapat ramai para pelajar dari pelbagai institut pengajian di kawasan itu akan memeriahkannya.
Dalam pada itu, ada netizen menyatakan pusat beli-belah itu bakal dilengkapi dengan pawagam yang menyedia enam dewan panggung wayang.
Sama-sama kita nantikan pembukaan pusat beli-belah yang berwarna coklat muda, maroon dan putih itu yang terletak di Kangar Jaya itu nanti.