Siapa sangka niat menyewakan ruang kosong di tingkat atas sebuah kedai dua tingkat membawa padah? Seorang wanita kini berdepan kemungkinan muflis selepas menerima bil elektrik sebanyak RM1.2 juta, didakwa berpunca daripada operasi perlombongan kripto haram oleh penyewa.
Menurut laporan China Press, dalam sidang media yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, semalam, mangsa bernama Yen Pit Yun berkongsi kisah bagaimana tragedi ini bermula.

Yen memiliki sebuah kedai dua tingkat, di mana tingkat bawahnya digunakan sebagai salon rambut.
Pada bulan Julai tahun lalu, Yen menyewakan tingkat atas kedai itu kepada seorang penyewa yang diperkenalkan oleh seorang ejen hartanah.
Perlombongan Kripto Haram: “Bermula dengan kabel elektrik misteri”
Segalanya berubah apabila pada bulan Ogos, Yen melihat penyewa itu membawa kabel elektrik berat ke tingkat atas.
Curiga dengan keadaan itu, Yen segera membuat laporan polis.
Namun, penyewa tersebut melarikan diri keesokan harinya tanpa meninggalkan jejak.

Apabila Yen memeriksa unit itu, dia terkejut mendapati ruang tersebut telah rosak teruk.
“Tingkat atas itu kosong sepenuhnya, dinding berlubang, dan bahagian-bahagian partition musnah. Kerugian harta benda ini sangat besar,” katanya dengan nada kecewa.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghantar bil elektrik sebanyak RM1.2 juta kepada Yen dua bulan kemudian.
Wanita itu kini berada dalam keadaan terdesak dan bimbang akan masa depannya.
“Jika bayaran secara ansuran tidak dibenarkan, kemungkinan besar saya terpaksa mengisytiharkan muflis,” luahnya.
Perlombongan Kripto Haram: 60 Pemilik Hartanah Lain Turut Terjejas
Menurut Tan Kar Hing, Yen bukan satu-satunya mangsa.
Terdapat 60 pemilik hartanah di kawasan itu yang turut terkesan akibat aktiviti perlombongan kripto haram.
“Ada yang menerima bil elektrik serendah RM30,000 hingga setinggi RM1.2 juta,” kata Tan.

Beliau menyeru Suruhanjaya Tenaga dan pihak berkuasa berkaitan untuk campur tangan bagi membantu mangsa-mangsa ini.
Selain itu, beliau menggesa pindaan dibuat terhadap Akta Bekalan Elektrik agar pemilik hartanah tidak lagi bertanggungjawab atas bil yang timbul daripada aktiviti haram penyewa.
Bil Elektrik RM1.2 Juta: Langkah TNB dan Amaran kepada Pemilik Hartanah
Sementara itu, TNB dalam kenyataannya kepada The Star berkata bahawa pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian bersama dengan pemilik hartanah yang terjejas.
TNB juga mengingatkan pemilik untuk mengemukakan permohonan Tukar Hak Milik (Change of Tenancy, COT) setiap kali mereka menyewakan unit kepada penyewa baru.