Hujung minggu lalu kecoh tentang seorang artis yang sedang meningkat naik diajukan soalan tentang Malaysia sempena menyambut hari kemerdekaan.
Malangnya, artis remaja berkenaan tidak mampu menjawab majoriti soalan yang diajukan kepadanya. Lebih parah, nama bendera Malaysia pun beliau tidak mampu jawab. Video berkenaan telah kini telah diturunkan oleh laman Facebook F8Buzz, mungkin atas permintaan artis berkenaan? Sebelum kita teruskan, kita layan lagu ini terlebih dahulu.
Tidak perlu disebut nama artis berkenaan kerana anda mungkin sudah menonton video berkenaan ketika hujung minggu. Buletin TV3 turut membuat liputan berkenaan hari merdeka ini. Mereka menemubual beberapa rakyat tempatan dan warga asing bertanyakan tentang Rukun Negara dan beberapa pengetahuan am yang lain.
Tambah menarik apabila warga asing dapat menjawab Rukun Negara dengan tepat! Apabila ditanya, beliau berkata beliau sudah tinggal lama di Malaysia dan Rukun Negara sudah tersemat di dalam kepalanya.
Saudara Ayman Rashdan Wong turut membuat komen tentang isu ini. Dalam tulisannya, beliau berkata kalau di negara lain misalnya Amerika Syarikat, sudah tidak layak jadi warganegara. Beliau memberi contoh untuk menjadi warganegara Amerika Syarikat, anda perlu lulus terlebih dahulu Bahasa Inggeris serta ‘Civics’, yang menguji pemahaman pemohon tentang sejarah dan kenegaraan Amerika Syarikat.
Secara dasarnya, jika diambil konteks pengetahuan am sahaja, warga negara yang ditemubual oleh wartawan Safwan Safi sudah ‘lulus’ untuk jadi warganegara Malaysia.
Konten hari kebangsaan oleh Buletin TV3 ini adalah satu konten yang bagus bagi mengingatkan kita supaya lebih peka dengan sejarah dan pengetahuan am tentang negara Malaysia. Kita asyik tuduh orang lain tidak patriotik, bagaimana pula dengan kita?
Semoga kita semua mengambil ikhtibar dengan pendedahan ini. Adakah kita perlu risau? Jawapannya, YA. Jangan sampai satu hari nanti orang asing ‘lebih Malaysia’ daripada kita. Sama-samalah kita memperkasakan pengetahuan kita tentang negara Malaysia. Sama-sama kita Sayangi Malaysiaku!