Sambutan Hari Kebangsaan 2026 pagi tadi meninggalkan satu persoalan unik dalam kalangan rakyat Malaysia apabila wajah seorang lelaki dilihat kerap kali muncul di kaca televisyen sepanjang siaran langsung berlangsung.
Teka-teki tersebut akhirnya terjawab selepas seorang pengguna platform Threads, @qaleeshalee, berkongsi video penjelasan daripada individu terbabit.
Bukan Bayar RTM, Hanya Jalankan Tugas
Lelaki yang menjadi sebutan itu merupakan Nadhir Nordin, seorang pengacara daripada Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau tampil menjelaskan bahawa kemunculannya yang kerap di skrin televisyen bukanlah kerana beliau ‘membayar’ pihak penyiaran, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada tugas rasminya sebagai kru teknikal di lapangan.
Nadhir ditugaskan untuk berada di tengah-tengah penonton bagi menghidupkan suasana sambutan, termasuk membimbing dan mengajak orang ramai bersorak serta memberikan reaksi yang sesuai sebaik sahaja kamera mula merakam.
“Allah, saya bukan bayar RTM. Saya bertugas, saya bertugas. Jadi ini kerja saya,” katanya bagi merungkai salah faham penonton.
Kendalikan Bahagian Sudut Pandang Penonton
Bagi memastikan tugasan berjalan lancar, Nadhir dilengkapi dengan alat komunikasi khas bagi membolehkannya menerima arahan terus daripada penerbit program.
Antara peranan utamanya adalah mengendalikan bahagian sudut pandang atau point of view (POV) supaya sorakan dan reaksi penonton kelihatan semula jadi di kaca TV.
“Penerbit akan cakap, ‘Ok Nadhir, stand by POV’. Maksudnya, Nadhir kena panggil penonton, pandang dekat kamera dan buat ‘real’,” ujarnya lagi.
Reaksi Positif Dan Gurauan Warga Maya
Penjelasan jujur daripada Nadhir itu ternyata mencuit hati warga maya yang sebelum ini keliru. Rata-rata pengguna media sosial memberikan maklum balas positif dan berseloroh mengenai populariti mendadak beliau.
Antaranya, pengguna akaun @cik.eena menulis di ruangan komen, “It’s okayyyy. Saya pun dah agak dia mesti kru RTM. Muka elok tak apa keluar banyak kali pun.”
Manakala seorang lagi pengguna, @nurazreene, turut berkongsi kisah ibunya yang turut mengenali wajah Nadhir. “Bro jangan risau, mak kita pun kenal awak.
Dia kata, ‘Eh, itu siapa eh? Selalu keluar TV dia kata’,” selorohnya.
Walaupun dijadikan bahan gurauan mesra, kesungguhan Nadhir secara tidak langsung membuktikan kepentingan peranan kru di belakang tabir yang bekerja keras demi memastikan siaran acara besar negara dapat disajikan dengan meriah dan berkesan kepada seluruh penonton.