Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil menganggap pasukannya memulakan saingan AFC Champions League (ACL) 2 dengan baik selepas memperoleh 4 mata dari dua perlawanan yang dihadapi.

Baru-baru ini, Selangor berjaya menewaskan kelab Filipina, Dynamic Herb Cebu dengan keputusan 1-0 di laman sendiri sekaligus menduduki tangga kedua dalam carta kumpulan H.

Baca Juga:

Meskipun mendapat kritikan dari peminat kerana gagal menyempurnakan peluang yang ada, Nidzam berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh anak buahnya.

“Kita rasa gembira dengan kemenangan ini dan empat mata daripada dua perlawanan, dan ini permulaan yang baik selepas tujuh, lapan tahun tidak berada dalam pertandingan ini (ACL II).

“Saya lebih takut kalau kita tak mencipta peluang. Kalau kita terus mencipta (peluang) seperti ini, saya rasa masih ada harapan,” kata Nidzam Jamil dipetik dari laporan Harian Metro.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor tampil lebih unggul dimana penguasaan permainan itu diterjemahkan kepada jaringan pada minit ke-10 apabila Yohandry Orozco menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Ronnie Fernandez untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.

Penguasaan skuad kendalian Nidzam Jamil itu berterusan pada babak kedua dengan deretan percubaan dilancarkan oleh barisan pemain Selangor.

Namun, kecemerlangan penjaga gol pasukan lawan, Florencio Badelic dan ketumpulan penyudah jentera serangan menggagalkan usaha Selangor untuk terus merobek gawang Cebu FC.

Kelebihan satu gol itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Selangor sekali gus meletakkan skuad Gergasi Merah di tangga kedua dengan empat mata.

Sebelum itu, wakil Liga Korea iaitu Jeonbuk Hyundai mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Muangthong United untuk berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata maksimum.