Perjalanan hidup seseorang sering kali membawa plot cerita yang tidak disangka. Memulakan langkah sebagai seorang tukang cuci motel, siapa sangka gadis berusia 25 tahun ini kini berjaya mengangkat sumpah sebagai peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand.
Kisah inspirasi Nur Zahirah Khairudin pantas mencuri tumpuan warganet selepas ia dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, @Akramzul lapor Harian Metro, membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk melakar kejayaan besar.
Bermula Dari Bawah Tanpa Rasa Malu
Dibesarkan dalam keluarga Melayu sederhana di negara kiwi tersebut, Nur Zahirah sudah terbiasa dengan erti kepayahan. Bapanya mencari rezeki sebagai seorang posmen, manakala ibunya pula mengambil upah menjahit bagi menampung keperluan keluarga.
Kehidupannya tidak seperti remaja lain yang mempunyai banyak keistimewaan. Pada setiap hujung minggu, rutin hariannya bermula seawal pagi dengan membantu keluarga menjual kuih. Menjelang tengah hari pula, dia akan bergegas bekerja sambilan sebagai tukang cuci di sebuah motel.
Bagi dirinya, pekerjaan itu tidak pernah memalukan, sebaliknya ia ruang terbaik untuk membina ketahanan mental yang tinggi.
Dipandang Sebelah Mata Kerana Status
Perjalanan Nur Zahirah bukan sekadar menahan kepenatan fizikal, malah dia juga terpaksa berhadapan dengan persepsi sinis sesetengah pihak.
Menurut perkongsian tersebut, dia pernah dipandang rendah oleh seorang individu dalam sebuah majlis hanya kerana rupa penampilan dan latar belakang keluarganya ketika itu.
“Biar orang pandang sebelah mata dengan rupa dan latar belakang kita hari ini, asalkan kita tahu apa tujuan hidup kita. Segala kepenatan membahagi masa untuk bekerja dan belajar ini adalah proses untuk ubah nasib keluarga.”
Monolog dan lafaz semangat inilah yang sentiasa menemani perjalanannya. Pengalaman pahit dipandang enteng itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi pembakar azam untuk dia terus bekerja keras bagi mengubah nasib keluarga tercinta.
Membuktikan Anak Biasa Mampu Bermimpi Besar
Menguruskan masa antara pengajian dalam bidang perundangan dan pekerjaan sampingan sememangnya memerlukan tahap disiplin kendiri yang sangat luar biasa. Namun, berkat kesabaran dan kecekalan, hari yang diimpikan akhirnya tiba jua.
Kejayaan ini bukan sahaja satu pencapaian peribadi yang sangat dibanggakan, malah ia sarat dengan mesej bermakna.
Nur Zahirah kini bukan sekadar sedang membina masa depannya dan membawa nama keluarga, tetapi dia juga berjaya membuktikan kepada enam adik-beradiknya bahawa anak daripada keluarga biasa juga berhak untuk bermimpi besar.
Selagi ada usaha dan tekad yang utuh, tiada puncak yang terlalu tinggi untuk didaki.