Pernah mendapat kecaman dari rakyat Malaysia, pemain naturalisasi negara iaitu Lee Tuck kini berdaftar sebagai rakyat Malaysia dalam satu kejohanan kecergasan yang disertainya di Perancis baru-baru ini.
Menurut video yang dikongsikan Terengganu11 di laman X, Tuck menyertai kejohanan kecergasan iaitu Hyrox World Championship edisi 2024 dan dalam papan senarai peserta, terdapat lima rakyat Malaysia yang menyertai kejohanan itu termasuk bekas pemain Negeri Sembilan itu.
Tahun 2023 Lee Tuck memenangi tempat pertama Hyrox World Championship di Barcelona, terdapat pertikaian drpd netizen dia mewakili negara mana dan digesa siasat! Tahun ini kejohanan yg sama di France, Lee Tuck memuat naik video nama beliau bersama 4 yg lain bersama Team Malaysia! pic.twitter.com/Qjs2aZX2r4
— TERENGGANU 11 (@11Terengganu) June 7, 2024
Sebelum ini, ketika menyertai kejohanan edisi tahun lalu di Barcelona, Tuck mendapat kecaman dari rakyat negara ini selepas beliau berdaftar sebagai peserta dari United Kingdom.
Umum mengetahui pemain itu telah memperoleh kerakyatan Malaysia dan pernah beraksi bersama skuad Harimau Malaya di beberapa saingan pentas antarabangsa.
Tuck sah menjadi rakyat Malaysia pada Ogos tahun 2022 dimana beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dimana proses naturalisasinya turut dibantu oleh pengurusan Sri Pahang dan mendapat perkenan daripada pemilik kelab, YAM Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Saya mengumumkan secara rasmi, saya adalah warganegara Malaysia. Saya benar-benar bersyukur menjadi warganegara Malaysia. Ia adalah proses yang sukar dan pelbagai pengorbanan telah dibuat untuk sampai ke tahap ini tetapi ini adalah peluang yang tidak dapat saya lepaskan.
“Saya ingin memberikan penghormatan dan penghargaan kepada pemilik Sri Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pengerusi kelab, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah, SPFC CEO, Datuk Mohammed Suffian Awang, Ahli lembaga Pengarah Sri Pahang dan semua peminat tok gajah yang telah menyokong proses ini,” kata Lee Tuck.
Menurut undang-undang Malaysia, seseorang rakyat Malaysia tidak dibenarkan mempunyai dwi kewarganegaraan, dan sekiranya warga asing memilih atau diberi penghormatan untuk menjadi rakyat Malaysia, maka beliau perlu melepaskan kerakyatan sebelum ini.