Umum diketahui bahawa pemain naturalisasi negara, Lee Tuck telah kembali ke negara kelahirannya iaitu England selepas menamatkan kontrak bersama pasukan Liga Super 2023 iaitu Kedah Darul Aman pada Julai lalu.

Menurut perkongsian di laman media sosial miliknya, Tuck kini menceburi bidang baharu iaitu dalam bidang hartanah dan beliau baru-baru ini tersenarai bagi satu anugerah yang dianjurkan oleh salah satu badan hartanah di negara itu.

Baca Juga:

Akan tetapi, persoalan muncul di kalangan peminat dimana mereka mempersoalkan status kewarganegaraan pemain itu selepas Tuck berkongsi kejayaan beliau memenangi perlumbaan yang menguji tahap kecergasan di Barcelona baru-baru ini.

Dalam papan yang menunjukkan senarai peserta, Tuck dikategorikan sebagai peserta dari United Kingdom dan bukannya Malaysia sedangkan pemain itu telah memperoleh kerakyatan negara ini dan pernah beraksi bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Tuck sah menjadi rakyat Malaysia pada Ogos tahun lalu dimana beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dimana proses naturalisasinya turut dibantu oleh pengurusan Sri Pahang dan mendapat perkenan daripada pemilik kelab, YAM Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Saya mengumumkan secara rasmi, saya adalah warganegara Malaysia. Saya benar-benar bersyukur menjadi warganegara Malaysia. Ia adalah proses yang sukar dan pelbagai pengorbanan telah dibuat untuk sampai ke tahap ini tetapi ini adalah peluang yang tidak dapat saya lepaskan.

“Saya ingin memberikan penghormatan dan penghargaan kepada pemilik Sri Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pengerusi kelab, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah, SPFC CEO, Datuk Mohammed Suffian Awang, Ahli lembaga Pengarah Sri Pahang FC dan semua peminat tok gajah yang telah menyokong proses ini,” katanya.

Menurut undang-undang Malaysia, seseorang rakyat Malaysia tidak dibenarkan mempunyai dwi kewarganegaraan, dan sekiranya warga asing memilih atau diberi penghormatan untuk menjadi rakyat Malaysia, maka beliau perlu melepaskan kerakyatan sebelum ini.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi dari Lee Tuck mengenai perkara ini.