Peminat bola sepak semalam dikejutkan dengan berita jurulatih terkemuka dari Sweden, Sven-Goran Eriksson yang meninggal dunia pada usia 76 tahun semalam.

Eriksson merupakan nama besar dalam dunia bola sepak dan pernah menerima anugerah pengurus terbaik dalam saingan Serie A dan EPL serta memenangi pelbagai kejuaraan.

Baca Juga:

Beliau disahkan menghidap kanser pankreas dan hanya memiliki tempoh untuk hidup selama setahun pada awal tahun ini.

“Sven-Goran Eriksson sudah menghembuskan nafas terakhirnya. Selepas berdepan dengan penyakit untuk tempoh masa panjang, SGE meninggal di samping keluarganya di rumah, pagi ini.

“Antara yang berada di sisinya adalah anak perempuannya, Lina; anak lelakinya, Johan bersama isterinya, Amana dan cucunya, Sky; bapanya Sven, teman wanitanya, Yanisette bersama anaknya, Alcides dan adik beradiknya, Lars-Erik dan isteri, Jumnong.

“Ahli keluarganya berharap semua pihak dapat menghormati permintaan mereka untuk berkabung secara tertutup dan tidak dihubungi,” kata satu kenyataan.

Eriksson menjadi pengurus asing pertama untuk pasukan kebangsaan England pada 2001 dan mengendalikan ‘generasi emas’ dibarisi pemain seperti David Beckham, Steven Gerrard, Wayne Rooney dan Frank Lampard.

Dia juga mengendalikan beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Benfica, Roma, Fiorentina, Sampdoria dan Lazio.

Eriksson meninggalkan England selepas Piala Dunia 2006 dan kemudiannya mengendalikan Mexico dan Ivory Coast serta kelab seperti Manchester City dan Leicester City.

Malah, beliau juga pernah ke Asia Tenggara mengendalikan kelab Thailand, Police Tero dan pasukan kebangsaan Filipina sebelum kembali ke Sweden.

Susulan masalah kesihatannya, dia mengundurkan dirinya daripada jawatan pengarah sukan di kelab Sweden, Karlstad pada Februari 2023