Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan naib juara saingan Liga Super musim 2023 iaitu Selangor.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran dimana pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe berminat untuk bersatu semula dengan Liridon.

Baca Juga:

Selepas berita ini mendapat perhatian di laman media sosial, muncul semula komen Liridon mengenai pembangunan Stadium Shah Alam baharu yang diumumkan pada awal tahun ini.

Salah seorang peminat bola sepak negara, Andy Penders memuat naik rekaan awal Stadium Shah Alam menerusi laman media sosial Instagram miliknya.

Penders menyatakan stadium tersebut akan menjadi salah satu stadium kegemarannya sekiranya siap dibina. Liridon kemudiannya memberi komen yang dianggap memandang rendah stadium tersebut.

“Mungkin dalam 4000 tahun,” kata Liridon.

Bagi musim 2023, Liridon Krasniqi beraksi bersama Terengganu dan baru-baru ini beliau membantu pasukannya muncul sebagai naib juara Piala Malaysia 2023.

Terengganu tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 3-1 dengan Liridon dimasukkan pada separuh masa kedua dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Cheng Hoe dan Liridon pernah bekerjasama ketika di Kedah Darul Aman dimana dua individu ini pernah menghadiahkan kejuaraan Liga Premier pada 2015, Piala Malaysia pada 2016 dan Piala Sumbangsih pada 2017.