Biarpun harga durian terus merosot pada musim ini, ‘raja buah’ tersebut tetap menjadi sasaran lumayan apabila tiga perompak bersenjatakan parang melarikan empat bakul durian gred premium selepas mengugut dua remaja yang menjaga dusun berkenaan, di sini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, rompakan itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi pada Sabtu (27 Jun) di sebuah dusun durian di Anjung Gapam, Bemban, di mana dua remaja berusia 17 dan 18 tahun sedang menjaga hasil tuaian durian tersebut, petik The Star.
Beliau berkata, suspek yang tiba dengan menaiki sebuah kereta telah memuatkan empat bakul besar durian jenis ‘IOI’ ke dalam kenderaan mereka sebelum salah seorang remaja berkenaan cuba menghalang mereka.
“Salah seorang suspek bertindak agresif dan mengacu sebilah parang untuk menakut-nakutkan remaja tersebut, manakala seorang lagi suspek melarikan sebuah motosikal milik bapa salah seorang mangsa sebelum mereka meloloskan diri,” katanya pada Ahad (28 Jun).
Supt Lee berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah menahan empat lelaki berusia antara 27 dan 35 tahun dalam serbuan berasingan antara jam 12.30 tengah malam dan 7.30 pagi pada Ahad (28 Jun) di Bertam Hulu, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah dan di sini.
Beliau berkata polis turut merampas tiga telefon bimbit, kereta yang digunakan dalam rompakan itu, motosikal yang dicuri, serta sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Suspek Mengaku Curi Durian, Motosikal
“Dua daripada suspek mengaku terlibat dalam insiden berkenaan, manakala seorang lagi suspek telah dikenal pasti secara positif oleh salah seorang mangsa sebagai individu yang mencuri motosikal tersebut,” katanya.
Memetik laporan itu lagi, Supt Lee berkata salah seorang suspek mendakwa dia pada mulanya diajak oleh seorang rakan subahat yang hanya dikenali sebagai ‘Wan Linggi’—yang kini masih bebas—untuk mencuri sport rim, namun memutuskan untuk melarikan motosikal berkenaan selepas ternampak kenderaan itu di dusun tersebut.
Beliau menambah bahawa hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan lanjut turut mendedahkan bahawa mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, pihak polis tidak dapat menemukan semula durian yang telah dicuri itu.