Persaingan antara China dan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang kecerdasan buatan (AI) semakin memuncak. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan topik ini menjadi topik yang hangat dibincangkan pakar ekonomi dalam dan luar negara.
Pada kali ini, Faiz Azizan selaku penulis isu semasa di Facebook tampil berkongsi dengan lebih lanjut mengenai persaingan AI antara dua negara besar ini.
Kedua-dua negara ini sedang berlumba-lumba untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam teknologi AI, yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi dan geopolitik global pada masa hadapan.
Walaupun AS masih mendahului dalam pembangunan cip AI dan teknologi teras, China semakin giat mengejar US dengan pendekatan yang lebih strategik dan meluas.
AS mengambil pendekatan defensif dengan mengenakan sekatan eksport terhadap China, terutamanya dalam akses kepada cip AI berprestasi tinggi.
Sebaliknya, China menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel dan inovatif dengan memberi tumpuan kepada:
• Pembangunan teknologi AI yang lebih cekap dan kos rendah.
• Memperluaskan pengaruh dalam AI sumber terbuka.
• Mengukuhkan infrastruktur awan dan ekosistem data global.
• Menawarkan akses AI yang lebih murah kepada negara-negara membangun yang kecewa dengan dasar AS.
Hal ini sebenarnya pernah dibincangkan oleh Ray Dalio, pemilik BridgeWater Fund yang ada menulis tentang kemungkinan isu New World Order antara China dan US.

Sekatan yang dikenakan AS bukan sahaja melemahkan hubungan dengan sekutunya, tetapi juga berisiko mencetuskan kesan yang tidak diingini seperti membuka peluang kepada China dalam Infrastruktur Digital.
Sekatan terhadap pengagihan kuasa pemprosesan AI juga boleh menyebabkan negara membangun lebih bergantung kepada penyedia perkhidmatan China seperti Alibaba Cloud.
China tidak hanya mengejar keupayaan teknologi semata-mata, tetapi juga mengukuhkan cengkaman dalam infrastruktur AI secara global.
Buat makluman, China membiayai dan membangunkan pusat data serta rangkaian telekomunikasi di sesetengah negara, menjadikan dirinya sebagai pembekal teknologi AI.
AI Sumber Terbuka – Model AI seperti DeepSeek-R1 yang setanding dengan OpenAI tetapi lebih cekap dan terbuka kepada semua. Tambahan, China memanfaatkan peluang di pasaran lain seperti Afrika dan Amerika Latin.
Justeru, untuk memastikan AS terus memimpin dalam AI, mungkin dasar yang lebih seimbang perlu diambil. Persaingan AI antara China dan AS bukan sekadar perlumbaan teknologi, tetapi juga pertempuran untuk mengawal ekosistem digital global.
Jika AS terus mengambil pendekatan defensif yang keterlaluan, ia mungkin kehilangan kelebihan kompetitifnya, membuka ruang kepada China untuk menguasai AI pada skala global.
Persoalan yang lebih utama, apakah hal ini menguntungkan kita sebagai pengguna?