Persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini telah menjadi bualan dalam kalangan warga maya.

Buat kali pertama, peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah digunakan sebagai instrumen persembahan itu yang didedikasi khas kepada perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membanteras rasuah.

Baca Juga:

Menurut ‘orang kuat’ persembahan Hari Kebangsaan iaitu Rosnan Nordin, tarian tersebut mengambil konsep stompers iaitu persembahan muzik yang dialunkan menggunakan alat terpakai seperti tong sampah, baldi dan tin.

“Persembahan ini kejutan untuk Perdana Menteri berserta lagu yang saya hasilkan sendiri yang tidak pernah dimainkan di corong radio.

“Saya ingin sampaikan tentang perjuangan Anwar dalam membanteras rasuah. Jadi, melalui gerak tarian, kita nak serap ke dalam jiwa anak muda supaya benci rasuah,” katanya memetik dalam Bernama. 

Malah, video persembahan itu ketika sesi raptai semalam turut tular di media sosial sekaligus mendorong pengunjung hadir lebih awal sejak malam tadi untuk menyaksikan secara langsung di Dataran Putrajaya.

“Banyak kali saya ulang tengok di aplikasi TikTok. Bila orang kongsikan pada hari raptai penuh, saya nampak peserta siap pakai baju warna oren, saya terus fikir kena pergi awal sebab nak tengok,” kata seorang penjawat awam berusia 44 tahun.