Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengurusan organisasi Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM) telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas dua pertuduhan berhubung pengurusan pertubuhan tidak berdaftar.
Tertuduh, Zafar Ahmad Abdul Ghani, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] serta memohon untuk dibicarakan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Oktober 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes, petik Facebook Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM)
Tindakan pendakwaan tersebut dibuat susulan siasatan yang dijalankan oleh Inspektor Sivalingam A/L Sillappan dari Bahagian Penguatkuasaan JPPM.
Siasatan tertumpu kepada aktiviti MERHROM di media sosial, termasuk kenyataan dan penerbitan oleh tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai Presiden MERHROM.
Hasil semakan pihak berkuasa mendapati organisasi MERHROM tidak berdaftar dengan JPPM, manakala tertuduh juga bukan pemegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar yang menggunakan nama berkenaan. Kertas siasatan seterusnya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan pendakwaan diambil.
Dalam pada itu, JPPM menegaskan bahawa pihak mereka memandang serius sebarang aktiviti pengurusan, pengendalian, mahupun promosi pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang negara. Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan-peraturan berkaitan.