Memanglah kita boleh bertanyakan pelbagai permasalahan kepada ChatGPT dan diberikan jawapan berdasarkan maklumat yang dikutip di internet.
Namun, tidak bermaksud ia boleh menjadi rujukan untuk perkara berkaitan kesihatan kerana tiada jaminan akan mendapatkan preskripsi yang tepat apatah lagi tidak mempunyai diagnosis yang sewajarnya dalam menentukan sesuatu penyakit yang dialami.
Seorang doktor perubatan, Dr. Rusydina, menceritakan pengalamannya mengendalikan seorang pesakit warga asing. Pesakit tersebut datang ke kliniknya dan mendesak untuk diberikan suntikan dan ubat antibiotik tertentu sahaja.
Lelaki tersebut enggan menjalani pemeriksaan doktor, sebaliknya bertegas bahawa dia sudah tahu ubat yang diperlukan dan tidak mahu membayar kos rundingan.
“Dia tidak mahu berunding. Dia hanya mahu bayar untuk ubat dan suntikan,” jelas Dr Rusydina, sambil menambah bahawa ubat antibiotik tidak boleh diberikan begitu sahaja tanpa pemeriksaan yang sewajarnya.
Apabila didesak untuk mendapatkan maklumat lanjut, akhirnya pesakit itu mendedahkan bahawa dia telah mengalami keputihan pada alat sulitnya selama beberapa bulan.
Kerisauan doktor itu berasas, kerana ubat yang diminta oleh pesakit tersebut adalah untuk merawat penyakit kelamin (STD).
Setelah pemeriksaan dilakukan, pesakit tersebut didiagnosis dengan gonorea, sejenis penyakit kelamin yang lazim dan memerlukan rawatan perubatan.
Walaupun begitu, dia menafikan telah melakukan hubungan seksual dengan orang lain dan keberatan untuk menerima diagnosis tersebut.
Dr Rusydina kemudiannya menerangkan tentang keadaan penyakit tersebut dan menasihatkan agar pasangannya juga dirawat bagi mengelakkan jangkitan semula.
Selepas itu, beliau memberikan suntikan berserta antibiotik lain yang lebih berkesan.
Namun, pesakit itu bertegas menolak preskripsi doktor. Dia sebaliknya meminta ubat yang disyorkan oleh ChatGPT, menunjukkan kepercayaannya pada maklumat yang diberikan oleh AI berbanding pakar perubatan.
Ekoran kecewa, Dr. Rusydina mengingatkan orang ramai bahawa meskipun alat AI seperti ChatGPT bermanfaat untuk pembelajaran, ia tidak sepatutnya digunakan untuk menggantikan nasihat dan diagnosis daripada pakar perubatan.
“Kami belajar di fakulti perubatan, mengkaji buku teks, lulus peperiksaan jauh sebelum ChatGPT wujud. Ia hanyalah pembantu, bukannya pengganti untuk pengetahuan perubatan yang sebenar,” katanya.
@dr.rusydina Bila mbbs kau dicabar oleh chatgpt haha #grwm #ai #chatgpt #std #storytime
Video luahan doktor itu telah menjadi bualan hangat yang mana netizen percaya sudah semakin ramai individu yang sedia mendapatkan nasihat berkaitan kesihatan dan mengambil preskripsi sendiri tanpa memikirkan kesan terhadap tubuh badan.