Walaupun kita sudah berada di tahun 2023, masih lagi kedengaran kes-kes penipuan wang terutamanya berkaitan pelaburan palsu. Lebih mengerikan, jumlah wang yang ditipu boleh mencecah jutaan ringgit.

Terbaharu, seorang pesara kerajaan berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM4.4 juta gara-gara terpedaya dengan pelaburan kriptowang yang tidak wujud.

Baca Juga:

pelaburan kriptowang
Sumber Gambar: FMT

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 60 tahun itu menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

Lalu, suspek memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan kriptowang yang berasal dari Singapura. Mangsa kemudian diterangkan pelan pelaburan dan dipujuk untuk menyertai pelaburan tersebut.

Selepas itu, mangsa diarahkan untuk membuat pendaftaran di laman web yang diberikan dan dijanjikan pulangan sebanyak lima hingga 10 peratus daripada nilai modal namun tidak dinyatakan tempoh pelaburan tersebut.

Terperdaya dengan tawaran tersebut, mangsa membuat 90 transaksi berjumlah RM4,417,092.80 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank diberikan suspek bermula 18 Julai sehingga 6 Sept lalu.

Namun begitu, mangsa gagal mengakses laman web berkenaan dan gagal menghubungi suspek semalam.

Oleh itu, Amilhizam berkata mangsa yang mengesyaki telah ditipu apabila menerima sebarang keuntungan pelaburan membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada hari semalam.

Kes itu bakal disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah diperdaya dengan pelaburan menjanjikan keuntungan yang tinggi.

Sumber